Friday, May 27, 2011

Minda Pengarang: Perjelas kedudukan harga minyak dunia elak rakyat diputar belit

KEPUTUSAN kerajaan tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan gas memasak LPG pastinya disambut dengan perasaan lega. Langkah itu membuktikan kerajaan masih dapat bertahan, walaupun terpaksa menanggung bebanan subsidi yang semakin meningkat, berikutan kenaikan harga minyak dunia.

Sejak akhir-akhir ini rakyat pelbagai lapisan masyarakat sering diulit kebimbangan berikutan harga minyak dunia yang tidak stabil, ekoran pergolakan di beberapa negara Asia Barat. Apa yang dibimbangi rakyat ialah kesan kenaikan produk petroleum itu akan disusuli dengan tindakan peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga pelbagai barangan pengguna dan makanan untuk mengaut keuntungan berlebihan. 

Jika itu berlaku, ia pastinya akan membebankan rakyat, khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan berkeluarga besar. Kita percaya Kabinet membuat keputusan itu selepas mengambil kira pelbagai aspek, terutama kesannya ke atas kemampuan rakyat. 

Penjelasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin berhubung keputusan mengekalkan harga bahan api itu pastinya menangkis khabar angin yang digembar-gemburkan pihak tertentu, kononnya harga bahan api itu akan dinaikkan minggu ini. 

Ismail menjelaskan sebagai kerajaan bertanggungjawab, Kabinet menerima pandangan rakyat dan memutuskan untuk tidak menaikkan harga bahan api itu buat masa ini. Kita percaya tindakan itu tiada kena-mengena dengan desakan mana-mana pihak terutama pembangkang. Langkah itu juga bukan disebabkan kerajaan bimbang kehilangan sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi, sebaliknya tidak mahu membebani rakyat. 



Harga petrol RON95 kini kekal RM1.90 seliter, manakala RON97 ialah RM2.90 seliter selepas diapungkan mengikut harga pasaran minyak semasa. Bagi mengelak sesetengah pihak terus memutarbelitkan langkah kerajaan, rakyat harus diberi penjelasan berterusan dan secukupnya mengenai kedudukan harga minyak dunia dari semasa ke semasa, termasuk langkah rasionalisasi subsidi bahan api itu. 

Tidak semua rakyat memahami apa yang berlaku berhubung kesan kenaikan harga minyak dunia terhadap ekonomi negara. Mereka juga tidak mempunyai maklumat secukupnya mengenai harga minyak dunia dan kesan ke atas ekonomi negara berikutan pemberian berterusan subsidi bahan api itu. 

Apa yang mereka percaya, apabila berlaku kenaikan harga bahan api, harga barangan lain akan turut naik dan ini akan menyusahkan kehidupan seharian mereka. Di sinilah pihak tertentu mengambil kesempatan menangguk di air keruh dengan melemparkan pelbagai dakwaan tidak berasas terhadap kerajaan. 

Jumlah subsidi ditanggung kerajaan tahun ini dijangka meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu iaitu daripada RM10.3 bilion kepada RM20.58 bilion berikutan kenaikan harga minyak dunia. Kerajaan tidak mampu memberikan subsidi selama-lamanya kepada semua orang kecuali pada golongan sasaran pengguna tertentu. 

Kita percaya rakyat dapat berfikir secara rasional jika mereka mendapat maklumat tepat mengenai isu berkaitan harga minyak. Kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya menaikkan harga minyak, tanpa mengambil kira kesannya terhadap rakyat. - BH 



No comments:

Post a Comment