Tuesday, May 31, 2011

Menteri: K'jaan tiada kuasa dedah kontrak IPP

Kerajaan tidak boleh memaksa Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) didedahkan kepada umum kerana ia dimeterai oleh entiti swasta.


Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin berkata PPA ditandatangani antara beberapa pengeluar tenaga bebas (IPP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).


"Jadi, siapa kita untuk beritahu mereka supaya mendedahkannya?” katanya kepada Malaysiakini di Putrajaya.

PPA adalah kontrak undang-undang antara pengeluar tenaga dan pembeli tenaga.

Adalah kemungkinan PPA akan menghuraikan butiran seperti kadar dan harga bahan api yang dibeli oleh syarikat minyak dan gas negara, Petronas tetapi ia sekarang diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi.

Bagaimanapun menurut Chin jika kedua-dua pihak bersetuju mendedahkan dokumen berkenaan kerajaan akan menyokong langkah tersebut.

"Jika kedua-dua pihak (IPP dan TNB) bersetuju dan kata 'kami mahu dedahkannya' siapa kami untuk menghentikan mereka,” katanya selepas pelancaran bangunan baru Suruhanjaya Tenaga di Putrajaya.

Pengkritik, khususnya parti pembangkang sejak akhir-akhir ini menekan kerajaan untuk mendedahkan PPA. Ini berikutan keenganan kerajaan persekutuan menstruktur semula kontrak berkenaan yang dikatakan berat sebelah sehingga membebankan rakyat.

Pakatan Rakyat juga mendakwa IPP meraih keuntungan lumayan dari kontrak itu dan pada masa yang sama menikmati subsidi gas yang ditanggung oleh pembayar cukai.

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini mendakwa subsidi bahan api yang dinikmati oleh IPP dan TNB mencecah RM19 bilion dan mereka penerima sebahagian besar subsidi yang diberikan oleh kerajaan. - MK


No comments:

Post a Comment