Friday, May 27, 2011

Kenaikan Tarif Elektrik Diluluskan, Kerajaan Perihatin Terhadap Beban Rakyat?


PUTRAJAYA: Majlis Ekonomi Negara (NEC) pada Jumaat meluluskan kenaikkan tarif elektrik yang butirannya hanya akan diumumkan Isnin ini.
NEC yang bermesyuarat di sini dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri oleh beberapa anggota Jemaah Menteri, lapor Malaysiakini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dijadualkan mengadakan sidang media pada pukul 4 petang Isnin bagi membuat pengumuman rasmi.
Sejak beberapa minggu lalu, Kabinet berulang-kali mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi kenaikan tarif elektrik dalam usaha kerajaan mengurangkan subsidi negara.
Pada Rabu lalu, Kabinet menangguhkan keputusan untuk menaikkan harga Petrol RON95 dan diesel.
Sementara itu satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada petang Jumaat menegaskan bahawa satu pengumuman mengenai tarif elektrik dan gas akan dibuat tidak lama lagi tanpa memaklumkan tarikh bila.
Bagaimanapun kenyataan itu mengesahkan bahawa soal mengkaji semula tarif yang sedia ada sekarang telah dibincangkan pada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara pada Jumaat.
“Satu kenyataan mengenainya akan dibuat tidak lama lagi. Oleh yang demikian semua pihak adalah dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Kementerian.
Pada Khamis, Menterinya, Datuk Seri Peter Chin berkata, isu mengenai tarif baru itu memang akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Negara. - mstar
Ulasan GB

Jika sebelum ini dilaporkan bahawa keputusan mengekalkan harga petrol RON95, diesel dan petroleum gas cecair (LPG) kerana kerajaan amat prihatin terhadap beban yang ditanggung rakyat, walaupun terpaksa menanggung beban kewangan yang besar berikutan peningkatan jumlah subsidi, sekarang mengapa pula menaikkan tarif elektrik jika benar-benar kerajaan amat perihatin terhadap beban rakyat?

Ini jelas menunjukkan kerajaan BN sebenarnya langsung tidak menghiraukan beban rakyat.

Kenaikan tarif elektrik jauh lebih memberi kesan negatif kepada rakyat kerana setiap sektor terlibat.

Implikasinya, kenaikan harga barang akan melambung dengan hebat dan ini sekaligus akan melucutkan kuasa beli rakyat dengan jumlah pendapatan yang sama. Nilai wang akan terus menjunam kerana inflasi akan mengakibatkan situasi dimana segala-galanya akan menjadi lebih mahal.

Dan rakyat marhaen menanggung derita dan sengsara yang teramat sangat - di jangka pendek dan jangka panjang.

No comments:

Post a Comment