Tuesday, May 31, 2011

Islam Menggalakkan Umatnya Berkahwin


Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, dia menceritakan, Rasulullah SAW bersabda :

"Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu serta berkeinginan untuk berkahwin, maka hendaklah dia kawin. Kerana sesungguhnya perkahwinan itu dapat menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Dan barangsiapa tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu dapat menjadi perisai baginya (melemahkan syahwat)." (Muttafaqun Alaih)


Daripada Ayyub RA dia bercerita, Rasulullah SAW bersabda :
"Ada empat perkara yang temasuk sunah para Nabi, iaitu : memakai inai (daun inai), memakai wangi-wangian, bersiwak dan berkahwin." (Riwayat At-Tirmizi)

Dan daripada Abdullah bin Umar bin Al-'Ash RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :

"Dunia ini adalah kenikmatan, dan sebaik-baik kenikmatannya adalah wanita solehah."(Riwayat Muslim, Nasa'i dan Ibnu Majah)

Dalam hadis yang lain disebutkan :

"Sesungguhnya dunia ini adalah kenikmatan, dan tidak ada kenikmatan dunia yang lebih baik dari wanita solehah."

Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda :
"Ada empat perkara, barangsiapa diberi keempat-empatnya, bererti dia telah diberi kebaikan dunia dan akhirat, iaitu: hati yang sentiasa bersyukur, lidah yang sentiasa berzikir, badan yang sentiasa bersabar atas cubaan yang menimpa, dan isteri yang tidak menjerumuskannya ke dalam dosa, baik dalam menjaga dirinya mahupun harta kekayaannya." (Riwayat At-Tabrani)

Menurut Muhammad bin Sa'ad bin Abi Waqqash, daripada ayahnya, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

"Tiga perkara yang termasuk kebahagiaan, iaitu: wanita solehah jika engkau melihatnya selalu menggembirakanmu dan jika engkau tidak berada di sisinya dia selalu menjaga diri dan juga hartamu. Kedua, binatang yang menjadi kenderaan yang menghantarkanmu menemui sahabat-sahabatmu. Serta, tempat tinggal yang luas yang banyak penjaganya. Dan tiga perkara yang termasuk kesengsaraan, iaitu: wanita yang engkau lihatnya membuatmu kecewa dan ia menggunakan lidahnya untuk mencacimu, jika engkau tidak di sisinya, dia tidak menjaga dirinya dan hartamu, dan binatang yang membangkang, jika engkau memukulnya ia akan mengikutimu dan jika engkau membiarkannya maka ia tidak akan menghantarkanmu menemui sahabat-sahabatmu, serta tempat tinggal yang sempit yang sedikit penjaganya.” (Riwayat Al-Hakim)

Dalam riwayat Baihaqi disebutkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

"Jika seorang hamba telah menikah, bererti dia telah menyempurnakan setengah dari agamanya. Maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah pada setengah lainnya."(Riwayat Baihaqi)

Daripada Abu Hurairah RA, dia bercerita, Rasulullah SAW bersabda :

"Ada tiga kelompok yang pasti akan dibantu oleh Allah, iaitu: Mujahid di jalan Allah, mukatib (hamba sahaya yang bermaksud untuk memerdekakan dirinya dan orang yang menikah dengan niat untuk menjaga kesucian." (Riwayat At-Tirmizi)

Daripada Anas bin Malik RA, dia bercerita bahawa ada sekumpulan orang yang datang ke rumah isteri Rasulullah SAW yang menanyakan mengenai ibadah baginda. Ketika diberitahu kepada mereka, seolah-olah mereka menganggap kecil ibadah mereka masing-masing seraya berucap, "Jika dibandingkan dengan baginda, maka dimanakah kedudukan kita. Sedang baginda telah diampuni dosa-dosa yang akan datang dan yang telah berlalu.

Salah seorang di antara mereka berkata aku akan sentiasa mengerjakan solat malam terus menerus. Yang lainnya berkata aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan pernah berbuka. Dan yang lain berkata aku akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin selamanya. Kemudian Rasulullah SAW datang dan bersabda :

"Kamu ini orang yang mengatakan begini dan begitu. Ketahuilah, demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut dan bertakwa kepada Allah daripada kamu, namun aku berpuasa dan berbuka (tidak berpuasa), mengerjakan solat dan juga tidur serta mengahwini wanita. Barangsiapa yang tidak mahu mengikuti sunahku, maka dia bukan termasuk golonganku." (Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Abu Sa'id al-Khudri, dia bercerita, Rasulullah SAW bersabda :

"Wanita itu dikahwini kerana empat perkara kerana kecantikannya, hartanya, akhlaknya dan agamanya. Hendaklah kamu memilih wanita yang taat beragama dan berakhlak, nescaya kamu beruntung." (Riwayat Ahmad)

Sedangkan daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

"Wanita itu dikahwini kerana empat perkara kerana kecantikannya, hartanya, akhlaknya dan agamanya. Hendaklah kamu memilih wanita yang taat beragama dan berakhlak, nescaya kamu beruntung." (Riwayat Al-Bukhari, Muslim)

Daripada Ma'qil bin Yasar, dia bercerita, pernah ada seorang yang datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata : "Ya Rasulullah SAW, aku mendapatkan seorang wanita yang mempunyai silsilah keturunan yang baik, memiliki kedudukan dan harta kekayaan, namun dia tidak dapat melahirkan keturunan, apakah aku boleh mengahwininya?" Maka Rasulullah SAW melarang mengahwini wanita tersebut.

Kemudian baginda juga didatangi orang yang kedua dan mengatakan perkara yang sama. Lalu didatangi oleh orang yang ketiga, maka baginda bersabda kepadanya :

"Kahwinlah dengan wanita yang penuh cinta kasih dan yang banyak memberikan keturunan, kerana sesungguhnya aku merasa bangga dengan jumlah kamu yang ramai." (Riwayat Abu Daud, Nasai dan al-Hakim)

No comments:

Post a Comment