Monday, May 16, 2011

Husam Sendiri Gantung Banner Selepas Aktivis GEGAR Dipukul


Selepas dipukul, Exco turun sendiri gantung banner

Selepas seorang aktivis Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Minyak (Gegar) dibelasah ketika menggantung banner menuntut royalti di Masjid Kampung Sireh, Kota Bharu Jumaat lalu, hari ini Exco Kelantan, Datuk Husam Musa sendiri turun menggantungnya di tempat sama.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan berbuat demikian malam tadi sebagai simbolik bahawa hak royalti negeri itu wajar dituntut.

Tindakan itu juga bagi menyatakan bahawa tiada mana-mana pihak boleh menghalang rakyat negeri ini menuntut hak royalti tersebut.

Dalam kejadian 13 Mei lalu, Setiausaha Gegar, Hisyamuddin Ghazali dipukul seorang lelaki ketika beliau sedang memasang banner menuntut royalti Kelantan di hadapan Masjid Kampung Sireh.

Mangsa yang ditemani isteri dan ibu ketika kejadian itu mendakwa penyerang tersebut yang ditemani seorang lagi rakannya secara tiba-tiba datang memberhentikan kereta yang dipandunya di belakang kereta mangsa, dan terus keluar meluru dan memukul beliau tanpa usul periksa.

Beliau dipukul di perut, kepala, mata dan telinga sehingga dirinya pitam seketika.

Manakala ibunya pula telah ditolak sehingga jatuh di atas jalan raya.

Ekoran itu mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

Hisyamuddin yang turut hadir bersama rakan Gegar yang lain malam tadi bagaimanapun berkata, biarpun dipukul beliau tidak akan serik untuk terus memperjuang hak royalti rakyat negeri itu.

“Saya dan rakan-rakan dalam Gegar tidak akan berdiam diri dalam isu ini dan akan ke seluruh negeri dalam menyedarkan kembali tindakan sesetengah pihak menghalang royalti minyak untuk Kelantan adalah satu langkah pengkhianat kepada bangsa dan negeri ini sendiri,” katanya kepada Harakahdaily.

Mereka mensasarkan 140 keping baner lagi untuk dinaikkan di seluruh negeri.

Sehubungan itu juga, beliau mewakili Gegar turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang turut memberi sokongan terhadap usaha mereka itu. -HD
Aktivis Gegar dipukul ketika gantung banner royalti

Kota Bahru: Seorang aktivis Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Minyak (Gegar) hari ini dipukul seorang lelaki ketika beliau sedang menggantung kain rentang menuntut royalti minyak negeri itu di Masjid Kampung Sireh di sini tengah hari tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa, Hisyamuddin Ghazali (gambar) yang ditemani isteri dan ibu sedang memasang kain rentang tersebut tiba-tiba diserang lelaki yang tidak dikenali terbabit.

Menurut mangsa yang juga setiausaha Gegar, penyerang tersebut yang ditemani seorang lagi rakannya secara tiba-tiba datang memberhentikan kereta yang dipandunya dibelakang kereta mangsa, dan terus keluar meluru dan memukul beliau tanpa usul periksa.

"Kejadian berlaku dalam masa yang singkat dan luar jangka. Lelaki itu datang dan terus memukul saya.

"Tumbukkan ala komando menyebabkan saya pitam berberapa saat dan ibu saya ditolak terlentang diatas jalan raya di hadapan Masjid Kampung Sireh", ceritanya.

Selepas menumbuk mangsa beberapa kali di muka, mereka kemudiannya kembali menuju ke keretanya.

Namun selepas menyedari mangsa merakam gambarnya, lelaki tersebut meluru semula mendapatkan mangsa dan memukulnya.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera di bahagian perut, kepala, mulut dan mata.

"Saya mengalami bengang di telinga, kabur mata kiri dan sakit di perut akibat ditumbuh di kepala dan perut.

"Adakah salah saya memperjuangkan Royalti untuk rakyat Kelantan?", soalnya sambil memberitahu beliau pitam beberapa minit sebelum bangkit mengambil gambar penyerang terbabit.

Ekoran itu mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu kira-kira jam 1 tengahari tadi.

"Inilah budaya samseng yang Umno cuba bawa di Kelantan.. rakyat kelantan mesti bersatu dalam tuntutan royalti, kita mesti tuntut sampai dapat dari kerajaan zalim", tegasnya.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak sesekali takut untuk terus menuntut hak royalti Kelantan itu.

Tindakan bacul

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Abdul Latiff Abdul Rahman menyifatkan perbuatan samseng tersebut sebagai bacul dan tidak bertanggungjawab dan yakin ada kaitan dengan pihak yang tidak senang dengan gerakan mendesak royalti Kelantan tersebut.

"Kita kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab individu yang tidak dikenali memukul seorang aktivis Gegar pada hari ini.

"Perbuatan samseng seperti ini adalah tindakan bacul dan tidak bertanggungjawab pihak-pihak tertentu yang sangat bermusuh dengan gerakan mendesak royalti minyak dikembalikan kepada Kelantan.," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengingatkan, hasil minyak merupakan hak milik Kelantan dan tindakan memunggah hasil mahsul ini tanpa sebarang bayaran royalti hanyalah merupakan tindakan perompak yang merompak dengan cara yang kononnya sah mengikut undang-undang.

Selain itu beliau turut kesal dengan tindakan kerajaan pusat yang terus membelakangi tuntutan tersebut namun dalam masa yang sama dapat menjelaskan bayaran royalti minyak kepada negeri Terengganu.

Sedangkan katanya perjanjian yang terpakai ialah perjanjian yang sama dan langsung tidak berbeza antara satu sama lain.

"Sewajarnya usaha-usaha NGO seperti Gegar harus disokong oleh semua pihak khususnya di Kelantan dan bukan menanganinya dengan cara samseng yang hanya mengesahkan sifat takut dan pengecut pihak-pihak tertentu.

"Lebih menyedihkan jika tindakan seperti ini dilakukan oleh anak Kelantan yang mengaku berjuang untuk kepentingan bangsa Melayu, nampaknya slogan ini hanyalah retorik semata-mata," katanya.

Untuk rekod, Gegar adalah sebuah badan bertindak yang mengabungkan lebih 57 buah badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Ia terdiri dari dua gabungan NGO induk iaitu Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan (GABUNGAN) dan Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) yang bermatlamat mendapatkan kembali hak royalti berasaskan kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petroleum menurut Seksyen 4 Akta pada 1975. -HD 13/05/11

No comments:

Post a Comment