KUALA LUMPUR, 24 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar supaya menyaman Datuk Shazryl Eskay Abdullah berhubung segala pendedahan dan dakwaan yang dibuat terhadap Ketua Pembangkang.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan berkata jika Anwar merasakan segala tuduhan dan dakwaan yang dibuat itu tidak benar seharusnya beliau berani menyaman Eskay seperti apa yang pernah dilakukan olehnya sebelum ini terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.
“Anwar memang kita kenali suka menyaman sesiapa sahaja yang membuat tuduhan terhadap dirinya, tetapi apabila membabitkan Datuk Eskay mengapa dia tidak menyamannya.
“Eskay ini bukan calang-calang orang, jika tidak takkan dia dilantik oleh kerajaan Thailand sebagai wakilnya di sini (Langkawi), tiada sebab untuk dia berbohong membabitkan orang lain,” katanya kepada UMNO-online.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pendedahan yang dibuat oleh Eskay kepada media mengenai apa yang berlaku di antaranya dengan Anwar ketika mereka berdua berkawan rapat.
Dalam pendedahan itu, Eskay turut menceritakan mengenai apa yang berlaku ketika mereka berada di Thailand serta dakwaannya mengatakan emosi Anwar tidak stabil dan menyifatkannya sebagai pemimpin yang lemah.
Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri seterusnya berkata, jika benar apa yang dikatakan oleh Eskay itu tidak benar sudah pasti Anwar akan beriya-iya menafikan apa jua yang dikatakan itu tetapi sehingga sekarang Anwar masih mendiamkan diri mengenai perkara itu.
“Saya sehingga kini ternanti-nanti bilakan Anwar ingin menyaman Eskay, tetapi sehingga kini tiada apa pun dilakukan oleh Anwar terhadap Eskay, malah beliau tidak pun menyahut atau menjawab yang dibuat oleh Eskay,” katanya.
Beliau berkata, Anwar tidak boleh menyalahkan sesiapa jika ada pihak yang membuat pelbagai andaian terhadap perkara itu kerana sehingga kini Anwar tidak menjawab apa jua perkara yang dilontar oleh Eskay terhadap dirinya. -MediaUMNO.
No comments:
Post a Comment