Thursday, May 26, 2011

Anda mungkin sudah termakan sayur buangan ini!


WARGA asing mengutip sayur yang dibuang untuk dijual semula di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur.

[BH] KUALA LUMPUR: Timbunan buah-buahan lisut dan sayur reput menjadi sumber pendapatan segelintir pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) yang 'berkampung' di pekarangan kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL).

Lobak putih, timun, cili merah, daun pudina, terung, daun salad, telur puyuh dan pisang yang dibuang di tapak pembuangan sisa pepejal disediakan pengurusan PBKL akan dicuci dan dibersihkan supaya kelihatan segar dan selamat dimakan.

Sayur dan buah-buahan itu menjadi pilihan sesetengah pengusaha restoran di sekitar ibu kota, malah sambutan menggalakkan diterima berikutan tindakan pengusaha restoran mengurangkan kos bahan mentah bagi menjalankan operasi perniagaan.

Pelarian Myanmar, Mohd Jamal, 45, adalah antara mereka yang menjadikan buah-buahan dan sayur dibuang pembekal atau pemborong sebagai sumber rezeki untuk menyara isteri dan dua anak lelakinya.

Jamal yang turut mengambil upah menghantar barang dibeli pemborong dan pengusaha restoran, tidak berasa jijik mengutip sisa buah-buahan dan sayur terbuang untuk dicuci dan dibersihkan sebelum dijual dengan harga lebih murah kepada orang awam atau pengusaha restoran berminat.

“Ada pengusaha restoran membeli sayur mentah terbuang untuk dimasak dan dijual kepada pelanggan. Saya tidak menganggap sayur itu sampah kerana keadaannya masih elok dan boleh dimakan,” katanya.
Jamal berkata, permintaan untuk sayur dan buah-buahan terbuang sentiasa ada kerana peniaga akan mendapatkan stok bahan mentah tanpa mengira waktu.

Fatimah Abdul Hakim, 23, pelarian dari Myanmar yang bermastautin di Malaysia lebih tujuh tahun pula menjadikan surat khabar lama sebagai sumber pendapatan hidupnya dan anak lelaki, Akhbar Shah Zubair,4.

“Suami berada di Jerman dan saya mesti pandai hidup berdikari. Cabaran sebagai peraih surat khabar lama di sini tidak banyak, cuma jika hujan, ia menjadi lembap tetapi tetap dibeli kilang yang memproses semula surat khabar lama untuk dijadikan kertas,” katanya.

Dengan pendapatan lebih RM80 sehari, Fatimah mampu menyewa bilik di kawasan perumahan berdekatan dan menghantar anaknya ke tadika serta hidup ala kadar namun selesa.

Tinjauan Berita Harian mendapati longgokan sampah mengeluarkan bau kurang menyenangkan tidak menjadi halangan kepada mereka memilih sisa sayuran dan buah-buahan untuk dikitar dan dijual dengan harga lebih murah.

Sementara itu, jurucakap UNHCR, Yante Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya peka terhadap perkembangan tidak sihat yang membelenggu pelarian dan kebajikan keluarga mereka. - Tuk Kiyai

No comments:

Post a Comment