Friday, April 22, 2011

Mati dipercayai didera kekasih ibu

AMPANG – Seorang lagi bayi maut dipercayai akibat perbuatan kejam manusia dewasa ini. 

Bayi lelaki malang itu, Law Hong Jun berusia setahun, lapan bulan meninggal dunia dipercayai didera teman lelaki ibunya. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, lelaki terbabit menghantar mangsa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, doktor menjalani pemeriksaan mendapati bayi berkenaan meninggal dunia kira-kira tiga jam sebelumnya. 

Menurutnya, polis dimaklumkan mengenai kes itu oleh doktor. 

“Berdasarkan pemeriksaan awal, pihak hospital dapati terdapat beberapa kesan lebam di bahagian badan mangsa dipercayai akibat didera,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya. 

Menurutnya, berikutan itu, polis menahan penganggur berusia 35 tahun terbabit untuk membantu siasatan, tetapi setakat ini ibu mangsa yang juga warga Thailand tidak ditahan. 

Amiruddin berkata, selain itu, pasukan forensik turut menyiasat kereta suspek yang berada di pekarangan hospital. 

“Kita siasat untuk mengenal pasti punca kejadian dan sedang menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hospital. 

“Pihak hospital juga sedang siasat tempoh kesan lebam di badan kanak-kanak itu,” katanya. 

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Sinar Harian

No comments:

Post a Comment