Sunday, April 17, 2011

Lagi Kereta Terbakar, 4 Terselamat

Jasin – Hanya Allah SWT yang tahu betapa bimbang hati seorang bapa apabila tiga anaknya berada di dalam kereta yang tiba-tiba terbakar dalam satu kejadian, petang semalam.
Nizam Hassan, 30-an, yang juga mekanik di Bandaraya Melaka sedang memandu keretanya, panik apabila melihat asap tiba-tiba keluar daripada bahagian enjin.

Nizam yang ketika itu membawa tiga anaknya berumur 5, 7 dan 10 tahun dalam perjalanan pulang ke Taman Perumahan Bemban selepas ke pekan berkenaan kira-kira jam 2.30 petang, semalam.

Bagaimanapun, kereta jenis Nissan Charade yang baru dibelinya sebulan lalu dengan harga RM800 terkunci pintu dan menyukarkan mereka keluar.

“Keadaan memang kelam-kabut dan saya terpaksa menghentak pintu beberapa kali sebelum berjaya mengeluarkan tiga anak saya.

“Dua anak saya trauma dengan kejadian ini tetapi syukur alhamdulillah, kami tidak cedera,” katanya.

Baru seminggu beli kereta

Menurutnya, dia tidak menyangka kereta berkenaan boleh terbakar kerana baru seminggu lalu diambil dari Kuala Lumpur.

“Memang tiada masalah dan masih belum sempat tukar nama,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Jasin, Mohd Rofie Badri berkata, dengan kekuatan lima anggota, mereka bergegas ke tempat kejadian.

“Bagaimanapun, kebakaran berlaku dengan pantas, kira-kira tiga hingga lima minit, kereta habis terbakar 100 peratus.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan semua mangsa selamat,” katanya. -SH

No comments:

Post a Comment