Thursday, April 28, 2011

KPN: PDRM keluar notis saman beserta gambar kenderaan 1 Mei ini

KUALA LUMPUR - Mulai 1 Mei ini, Polis Diraja Malaysia akan menghantar notis saman beserta gambar mana-mana kenderaan yang didapati telah melanggar undang-undang jalan raya di kawasan yang mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV)



Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menggunakan kaedah itu bagi mengemas kini cara saman dikeluarkan supaya lebih tepat dan berkesan.
"Kalau ada yang dakwa itu bukan kenderaan mereka (walaupun selepas notis saman beserta gambar dihantar), sila kemukakan bukti di mana-mana kaunter trafik," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini hari ini.

Katanya kaedah itu akan diguna pakai bagi kesemua kesalahan termasuk memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang keledar, membuat pusingan di kawasan yang tidak dibenarkan dan sebagainya. 

Kaedah itu digunakan sebagai 'bahan bukti' bagi menunjukkan seseorang itu telah melanggar undang-undang jalan raya, katanya.

Khalid berkata bagi kawasan yang tidak mempunyai CCTV, saman akan tetap dikeluarkan secara normal oleh anggota dan pegawai trafik.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana anggota dan pegawai polis yang enggan menerima sesuatu laporan polis.

Menurutnya isu tersebut antara yang dibangkitkan dalam mesyuarat 'Delivery Task Force' bagi mengurangkan kes jenayah yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya hari ini.

Khalid berkata pengurusan tertinggi PDRM telah menerima banyak aduan mengenai isu tersebut dan masyarakat perlu tampil melaporkan mana-mana anggota yang enggan menerima sesuatu laporan polis.

"Tulis nombor mereka dan catat di mana kes itu berlaku. Kita tidak akan berdolak-dalik dalam hal ini dan akan mengambil tindakan kepada mereka yang enggan mengikut arahan ini," katanya.


Beliau berkata sepatutnya, laporan boleh dilakukan di mana-mana balai dan siasatan akan dilakukan segera dan memanggil individu yang memuat laporan itu bagi membantu siasatan.



Mesyuarat itu turut membincangkan strategi dan kaedah bagi mengurangkan rasa takut masyarakat ketika berhadapan dengan sesuatu kes jenayah, katanya.

Bagi tujuan itu, Khalid berkata lebih banyak program kemasyarakatan akan diadakan bagi membolehkan polis dan orang ramai bertukar-tukar pendapat dalam menghadapi sesuatu kes jenayah.- SH

No comments:

Post a Comment