Sunday, April 24, 2011

Keputusan Liga Super 2011 23/4/2011 & Video Kedah 1-2 Harimau Muda A

Selangor lebarkan penguasaan

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Selangor terus mengekalkan rentak cemerlangnya dengan melebarkan saingan di persada Liga Super apabila menumpaskan Sabah 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.

Keputusan itu membolehkan 'The Red Giants' memperkukuhkan kedudukan dengan mengumpul 32 mata, iaitu empat mata di hadapan pencabar terdekat Terengganu.

Selangor yang bertandang ke tempat lawan tersentak apabila skuad Sabah membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Rosdin Wasli yang menewaskan penjaga gol Selangor, Mohd Saiful Amar Sudar.

Namun kegembiraan tuan rumah tidak kekal lama apabila anak didik K. Devan berjaya menyamakan kedudukan hasil tendangan sudut yang ditanduk oleh Mohd Bunyamin Umar pada minit ke-35.

Gol kemenangan Selangor dicipta oleh kapten pasukan, Mohd Amri Yahyah yang berjaya menyumbat masuk gol kedua pada minit ke-68 untuk membantu pasukan itu mencapai kemenangan ke-10 selepas 14 perlawanan.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan berjaya mencari rentak permainan baru dan konsisten apabila membelasah Pahang dengan keputusan 3-1.

Keputusan tersebut menyaksikan kemenangan keempat Negeri Sembilan yang juga juara Piala FA musim lepas.

Dengan kemenangan tersebut, skuad anak didik Mohd Azraai Khor Abdullah berjaya keluar dari kepompong aksi hambar dalam misinya memburu kejayaan setelah kedua-dua pasukan sekadar terikat seri 1-1 pada pertemuan di Stadium Darul Makmur, Selasa lepas.

Tiga gol masing-masing dijaringan oleh Shahurain Abu Samah menerusi tendangan penalti pada minit ke-13, G. Mahathevan (min-28) dan Mohd Firdaus Azizul (min-58) sementara gol tunggal Pahang dijaringkan oleh R. Karthigesu pada minit ke-78.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Harimau Muda A mencipta kemenangan kelima liga apabila menewaskanKedah 2-1.

Keputusan itu menyaksikan skuad anak didik Ong Kim Swee menebus kekecewaan pertemuan terdahulunya setelah tumpas 0-1 di Stadium Shah Alam pada Rabu lepas.

Dua gol Harimau Muda A dijaringkan oleh Izzaq Faris Ramlan pada minit ke-29 dan Mohd Fendi Othman (min-55) manakala gol saguhati skuad Kenari dijaringkan oleh Badrol Bahtiar (min-63).

Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, tuan rumah, Johor FC menggunakan peluang dengan sebaiknya untuk menumpaskan pasukan kelab dari Terengganu, T-Team dengan keputusan 2-1.

Keputusan tersebut menceriakan jurulatihnya, Mohd Azuan Mohd Zain setelah hasil keputusan seri 1-1 yang diterima ketika bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Selasa lepas menentang tuan rumah.

Gol tuan rumah dijaringkan oleh Shahrizal Saad pada minit ke-18 dan Mohd Rashid Aya (min-79) sementara gol T-Team disumbat oleh Indra Putra Mahayuddin (min-86).

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu mengalahkan Perak 3-0 untuk mengumpul 28 mata di belakang Selangor.

Tiga jaringan pasukan Penyu masing-masing disumbat oleh Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-15, Reeshafiq Alwi (min-68) dan Joseph Kalang pada minit ke-78.

Hasil keputusan tersebut melegakan ketua jurulatihnya Irfan Bakti Abu Salim setelah seri 1-1 pada pertemuan dua pasukan tersebut di Stadium Perak, Ipoh, Selasa lepas.

sumber: astroarena

Video Kedah 1-2 Harimau Muda A

kredit video : sokernet.com


Keputusan Liga Super 2011 23/4/2011

Sabah (1) vs (2) Selangor
Johor (1) vs (2) T-Team
Kedah (1) vs (2) Harimau Muda
Negeri Sembilan (3) vs (1) Pahang
Terengganu (3) vs (0) Perak

http://feeds.feedburner.com/BulanPurnama

No comments:

Post a Comment