Friday, April 29, 2011

Kenapa culik, bunuh anak saya

VIJAY dan isteri Kavitha (dua dari kiri) menuntut mayat Seshagiry di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.
VIJAY dan isteri Kavitha (dua dari kiri) menuntut mayat Seshagiry di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.
Bapa bayi ditemui mati dalam beg mahu pelaku dihukum


IPOH: “Saya hanya nak tahu mengapa culik dan bunuh anak saya yang kecil dan tidak berdosa,” kata K Vijay, 36, bapa kepada V Seshagiry, bayi sembilan bulan yang mayatnya ditemui dalam sebuah beg berhampiran jalan susur masuk Plaza Tol Bandar Baharu, Kedah, Sabtu lalu.


Dalam nada sebak dan menahan air mata, Vijay berkata beliau tidak dapat menerima perbuatan kejam terhadap anaknya dan menuntut pihak berkuasa menyiasat kes itu sedalam-dalamnya dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.


“Walaupun tahu Seshagiry tidak akan kembali, saya mahukan keadilan. Sebagai bapa saya hanya mahu tuntut (keadilan) ke atas kematian anak saya. 


“Saya berharap polis menjalankan siasatan secepat mungkin kerana bimbang penjenayah akan melarikan diri,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam. 

Sidang media itu turut dihadiri isterinya, M Kavitha, 36; Pengerusi MIC Perak, Datuk S Veerasingam dan Setiausaha MIC negeri, Datuk R Ganesan. 

Misteri penemuan mayat bayi dalam keadaan lebam di kepala, hidung berair dan disumbat dalam beg kanvas itu terungkai apabila Kavitha mengecam bayi berkenaan sebagai anaknya berdasarkan foto yang ditunjukkan polis kepadanya, kelmarin. 

Beberapa jam sebelum membuat pengecaman itu, Kavitha yang bekerja sebagai pengarah syarikat mengadakan sidang media memaklumkan Seshagiry dilarikan seorang lelaki dipercayai abang kenalan ibunya, Jumaat lalu dan merayu anaknya dipulangkan dengan selamat. 

Namun, harapannya hancur apabila diberitahu anaknya sudah mati dan mayatnya ditempatkan di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. 

Vijay yang yakin polis dan kerajaan negeri termasuk MIC akan berusaha membantunya menuntut pembelaan terhadap kematian anaknya, berkata dia tidak mengetahui motif penculikan dan pembunuhan itu. 

Beliau yang bekerja sebagai pengurus projek sebuah syarikat telekomunikasi turut mengesahkan dia dan isterinya belum dipanggil untuk memberi sebarang kenyataan kepada polis. 

“Saya berharap kes itu dapat diselesaikan segera untuk saya menyempurnakan mayatnya,” katanya. 

Sementara itu, Veerasingam berkata MIC dan kerajaan negeri akan berusaha membantu meringankan beban keluarga Vijay, termasuk sumbangan dan membiayai kos untuk membawa pulang mayat bayi ke Ipoh sebaik bedah siasat selesai. 

Ketua Polis Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah, ketika dihubungi berkata, kes itu diserahkan kepada Polis Kedah untuk siasatan lanjut. 

“Saya difahamkan, polis Kedah sudah menahan seorang wanita berusia lingkungan 30-an semalam (kelmarin) bagi membantu siasatan,” katanya. Berita Harian

No comments:

Post a Comment