Saturday, April 16, 2011

GT Pulau Sembilan gemar hentam gewang

pix_gal0
KEGHAIRAHAN memburu ikan gerepoh atau giant travelly (GT) bersaiz comel di Pulau Sembilan, Perak, semakin membuak-buak selepas menyaksikan rakan-rakan forum berkaitan memancing bercerita mengenai perihal ikan itu yang dikatakan mampu meluruskan mata kail.

Susulan itu, satu trip dianjurkan oleh sembilan pemancing dari Kuala Lumpur dan Kedah untuk membuktikan ikan bersaiz comel ini benar seperti yang diperkatakan itu.

Dari Kuala Lumpur, penulis bersama enam sekumpulan terus ke Jeti Kampung Sematang, Sri Manjung, Manjung, Perak bersama Shah, Asyraf, Pokcik, Kord dan isterinya Zura dan tiba di sana jam 2 pagi.
Setiba di sana, penulis dapat berkenalan dengan rakan baru seperti Lan, Arif, Rizal yang masing baru tiba dari Kulim, Kedah. 

Seawal jam 8 pagi kami seramai sembilan pemancing bergerak menggunakan dua bot gentian kaca milik tekong Bro Ismail dan Faizal. Kadar sewaan bot dekat sini antara RM450 hingga RM550 mengikut kapasiti bot. 

Kaedah memancing GT bersaiz 3 kilogram (kg) ke bawah di Pulau Sembilan memerlukan set yang sederhana ringan. Padanan digunakan penulis dan rakan-rakan iaitu joran sekitar 8-20-20-25 lb (paun) yang kemudian disesuaikan kekili jenis mendatar bersaiz antara 1000 dan 2000 iaitu sepadan dengan saiz mangsa yang diburu oleh kami. 

Tali jenis sulam digunakan kami berkekuatan antara 15 hingga 20 lb. Gewang pula jenis sesudu berwarna perak dan tembaga menjadi pilihan kami selain besi jig dan gewang berbentuk ikan. 
Setibanya di Pulau Nipis, kami bergegas membuat balingan ke arah tebing batu. Caranya, sesudu dibiarkan tenggelam seketika dan kemudian dikarau dengan laju supaya ia kelihaatan seperti anak ikan lari dihambat pemangsa. 

Penulis menggunakan sesudu berwarna gangsa yang terus membuat balingan ke batu tidak menunggu lama apabila joran berkekuatan 10-25 paun dari Abu Conolon terus direntap pemangsa. 

Joran yang baru setahun dibeli penulis terus melentur separa ‘U’ yang menandakan ikan terlekat pada gewang sesudu dihulurkan. Drag yang dilonggarkan dari awal tadi berjaya mengekang mangsa dari membuat larian mengejut yang akan menyebabkan tali terputus. 

“Ikat GT...GT,” jerit tekong Ismail yang tahu sangat kerenah ikan ini selepas terkena mata kail. Beliau antara tekong berpengalaman di sekitar Pulau ini dan Tukun Perak. 

Penulis mengarau kekili dengan berhati-hati dengan melonggarkan sedikit drag kerana bimbangkan tujahan mangsa yang boleh memutuskan tali perambut penyerap hentakan 20 kg. 

Sambil itu, Ismail menggerakkan bot jauh di tempat terbuka untuk mengekang ikan membawa tali ke batu tajam yang berselirat di dasar laut. Selepas bertarung kira-kira tiga minit, lesen pertama bagi penulis iaitu GT berskala 1 kg berjaya dinaikkan atas bot. 

Kami berlima meneruskan aktiviti memancing dengan mengelilingi lapan pulau berdekatan iaitu iaitu Pulau Buluh, Saga, Rumbia, Nipis, Payung ,Agas, Batu Timbul dan Batu Timbul Rosa, namun usaha sehingga waktu tengahari itu tidak mendatangkan hasil sebelum balik berehat di Pulau Lalang. 

Kira-kira jam 3 petang, aktiviti memancing bersambung dan kali ini Ismail membawa kami ke Pulau Payung. Di sana beliau menasihatkan kami menggunakan gewang permukaan dan katanya ikan GT turut menyerang gewang sebegini kerana menyerupai ikan banang yang sering bermain di permukaan air. 

Pokcik yang menggunakan gewang jenis itu dan membuat balingan di kawasan air tenang terus disambar ikan GT. Bunyi ‘boshhh’ sebanyak dua kali membuatkan kami berpaling pada sudut batu dan gewang yang mempunyai kipas di ekornya terus menjunam dilarikan mangsa. 

Beliau yang berpengalaman memancing GT di pulau ini dengan tenang melayan ikan yang cuba melepaskan diri. Berdesit-desit tali dari kekili mendatar beliau mengeluarkan talinya. 

Akhirnya GT berskala hampir 2 kg berjaya didaratkan dan menambahkan koleksi ikan GT yang kedua. 

Sebelum menamatkan trip ini kira-kira jam 7 petang, kami berjaya menaikkan sebanyak lima ekor GT berskala 3 kg dengan menggunakan kaedah mengilat dan hasil ini cukup membanggakan kami semua walaupun ‘mama’ GT gagal diperoleh. 

Selepas tiba di jeti Manjung, hasil keseluruhan yang diperoleh dengan dicampurkan bot geng Kedah jumlahnya kira-kira 22 ekor GT, 10 banang dan seekor ikan talang. 

No comments:

Post a Comment