Wednesday, April 20, 2011

Gadis ini memerlukan bantuan




Siti Nor Haleeda Abdul Razak menunjukkan surat dari IJN berhubung pembedahan yang perlu dilaluinya di rumahnya di Kuala Kedah, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR - Seorang pelajar tingkatan lima dari Kampung Madrasah di Kuala Kedah di sini merayu bantuan orang ramai untuk membiayai pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Mei ini.

Pelajar terbabit, Siti Nor Haleeda Abdul Razak, 17, yang menderita saluran jantung tersumbat sejak 2001 memerlukan wang sebanyak RM3,000 untuk pembedahan tersebut.

Bapanya, Abdul Razak Awang Kechik, 54, yang bekerja sebagai nelayan memberitahu, dia tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu kerana pendapatannya tidak seberapa.

Apatah lagi, dia terpaksa menanggung tujuh anak termasuk empat daripada mereka masih bersekolah dan menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Kos yang dikenakan oleh IJN adalah RM45,000 tetapi setelah diberi subsidi anak saya hanya perlu membuat pembayaran sebanyak RM3,000.

"Tetapi bagi nelayan seperti saya, jumlah ini sangat tinggi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, Siti Nor Haleeda, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Kuala Kedah sering pengsan ekoran masalah kesihatan itu dan dia perlu ke IJN semula pada 30 Mei ini bagi pembedahan tersebut.

Siti Nor Haleeda yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini berkata, dia berharap untuk menjalani kehidupan seperti remaja biasa yang sihat.

"Saya cuma berharap untuk dapat belajar dan berjaya dalam pelajaran seterusnya berpeluang membantu keluarga," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu pelajar ini boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Agro Bank 1-00-5071-00004003-3 milik Abdul Razak Awang Kechik atau menelefonnya di talian 013-5374395.

No comments:

Post a Comment