Thursday, April 14, 2011

FITNAH "IKAN PATIN"


Temerloh – Pemilik kedai makan berasaskan ikan patin di bandar ini meminta pelanggan yang mendakwa terpaksa membayar sehingga RM13,000 untuk hidangan ikan jenis itu supaya tampil menunjukkan resit bayaran sebagai bukti kenyataan mereka yang disiarkan akhbar daripada laporan sebuah agensi berita, semalam.

Ini kerana menurut mereka, dakwaan itu telah menyebabkan reputasi perniagaan mereka terjejas apabila pelanggan takut dikenakan harga yang melampau dan tidak munasabah jika meminta hidangan ikan patin.

"Dakwaan harga sampai RM13,000 hidangan ikan patin untuk dimakan 52 orang itu benar-benar boleh merosakkan bisnes kami dan industri ikan patin di Temerloh. Kalau betul, tunjukkan bukti. Jika tidak ada bukti, kami anggap ini fitnah," kata seorang peniaga yang meminta namanya tidak disiarkan.

Menurutnya, dalam isu seperti ini, bukan peniaga sahaja perlu ada timbang rasa, malah pelanggan juga perlu ada sifat tanggungjawab.

"Jangan lempar batu sembunyi tangan. Jangan buat kenyataan yang umum tapi sertakan bukti, sebutkan kedai yang mana satu. Ikan patin Temerloh terkenal di seluruh negara, kenyataan yang seperti ini ibarat masukkan pasir dalam periuk nasi kami selain menghalang orang luar untuk datang makan ikan patin yang memang sedap dan berkualiti," katanya.

Menurut peniaga itu lagi, di kedainya - antara kedai ikan patin yang tersohor di bandar ini - bayaran tertinggi pernah dikenakan hanya sekitar RM6,000 sahaja.

"Itu pun tengok pada hidangan. Pelanggan seramai lebih 130 orang itu minta macam-macam, ada masakan ikan patin, jelawat, udang galah malah rokok saja berkarton. Ada yang ambil rokok sampai tiga kotak seorang," katanya.

Katanya lagi, bilangan pelanggan yang ramai dan permintaan yang boleh disifatkan 'melampau' seperti itu berlaku pada musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerdau baru-baru ini.

"Ini perkara biasa pada musim pilihan raya. Mungkin ada orang besar politik yang turun nak belanja anak buah, penyokong atau jentera parti. Mereka boleh berbelanja besar kerana mereka mampu tapi tidaklah sampai RM13,000," katanya.

Menurut peniaga itu lagi, kedainya memang jadi tumpuan penggemar ikan patin malah ada orang kaya dari luar termasuk ahli politik yang jadi pelanggan tetap.

"Mereka ini bukan datang sekali dua malah dengan saya sendiri pun bukan setakat kenal tapi sudah jadi kawan baik. Mereka tahu harga ikan patin dan hidangan ikan sungai lain yang memang agak mahal tapi itu bukan alasan untuk saya kenakan harga yang tinggi bagi orang biasa. Kita hidang ikut pilihan dan permintaan pelanggan tapi tidaklah semahal itu," katanya.:

Menurutnya, jika benar dia meletakkan harga yang 'gila-gila' tanpa mengambil kira kesan terhadap pelanggan pada musim pilihan raya lalu, mana mungkin kedainya terus menerima pelanggan yang ramai selepas musim itu.

"Ada juga pelanggan yang datang pertama kali pada musim pilihan raya, sampai sekarang pun terus datang lagi," katanya.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali Amran berkata, ada juga pelanggan yang selepas bayar, minta bil kosong dengan pelbagai alasan.

"Biasanya kalau ada yang minta begitu, kami beri sebab mahu jaga hati pelanggan kerana kami tak jangka akan memudaratkan kami. Mungkin mereka sendiri mahu buat tuntutan tinggi kepada bos mereka sama ada ahli politik ataupun syarikat masing-masing. Sekarang, selepas ada dakwaan seperti ini, kami perlu lebih berhati-hati," katanya.

Amran berkata, dia menjual harga ikan patin muncung liar antara RM80 hingga RM100 sepotong bergantung pada saiz, manakala ikan patin buah liar RM16 hingga RM28 sepotong dan ikan patin sangkar RM8 hingga RM10.

Manakala ikan jelawat dijual antara harga RM30 hingga RM40 sepotong, udang galah antara RM20 hingga RM30 juga bergantung pada saiz. -SH

Hidangan ikan patin RM13,000?

KUALA LUMPUR, 11 April – Sekumpulan 50 pelanggan yang makan hidangan masakan kampung termasuk ikan patin di sebuah restoran di Temerloh, Pahang terkejut apabila mereka dikenakan bayaran RM13,000.

Seorang daripada kumpulan itu, yang dipetik Bernama Online dan enggan namanya disiarkan berkata, dia membawa rakan-rakannya menikmati makan tengah hari di restoran berkenaan baru-baru ini yang menyediakan ikan-ikan sungai, ulaman dan sayur-sayuran kampung.

“Selesai makan, pemilik restoran berkenan mengenakan bil berjumlah RM13,000 dan saya terpaksa membayar,” katanya.

Beliau berkata, jika dikira, setiap seorang daripada 50 orang itu, dikenakan bayaran RM260.

“Ini melebihi makan di restoran enam bintang di Kuala Lumpur,” katanya.

Kejadian itu kini menjadi bualan peniaga serta penduduk di daerah Temerloh.

Difahamkan ikan patin buah atau patin muncung dijual pada harga antara RM90 dan RM120 sekilogram, dan apabila dimasak, ia dijual dengan harga RM25 hingga RM35 seketul mengikut saiznya.

Ikan patin sangkar pula berharga RM15 sekilogram, dan jika dimasak, dijual antara RM5 dan RM7 seketul.

Ikan patin sungai berwarna kelabu manakala patin sangkar berwarna cerah dan putih di bahagian sisik atas dan bawahnya pula berwarna kemerahan serta banyak lemak.

Ketua Pegawai Bahagian Penguat Kuasa Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Temerloh, Othman Din, meminta restoran dan kedai makan di Temerloh supaya mempamerkan tanda harga atau menyediakan harga pada menu jualan bagi kemudahan pelanggan dan orang ramai.

No comments:

Post a Comment