Cabaran besar kepada umat Islam pada hari ini ialah menolak kemungkaran yang berada di hadapan mata. Semua itu memerlukan kesabaran yang jitu. Mungkin ramai yang boleh sabar dalam menempuh musibah yang melanda, tetapi mereka tidak boleh sabar untuk menahan rasa marah kepada orang yang menyebabkan musibah itu.
Hanya orang yang benar-benar beriman kepada Allah sahaja yang mampu sabar dalam semua keadaan kerana mereka mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku ke atas dirinya adalah kehendak Allah. Sesuatu yang sudah ditakdirkan tidak dapat dielak lagi. Demikian orang yang taat, tidak akan berasa susah untuk mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
Tegasnya, orang yang mampu sabar itu adalah orang yang beriman. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang sabar dalam musibah, penderitaan dan dalam peperangan mereka itulah orang-orang yang benar imannya, dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah :177)
Persoalannya bagaimana cabaran ini harus dihadapi oleh umat Islam yang rata-ratanya belum begitu benar-benar beriman. Bagi menyelesaikan semua itu perhatikan pecahan sabar yang harus dimiliki oleh umat Islam.
1- Sabar (menahan) daripada kehendak syahwat perut dan kemaluan. Sabar ini disebut iffah.
2- Sabar dalam menghadapi musibah, lazimnya disebut sabar.
3- Sabar dalam keadaan kehidupannya yang serba cukup dan mampu. Sabar ini disebut mengawal nafsu.
4- Sabar dalam peperangan dan pertempuran. Sabar ini disebut syaja’ah (berani).
5- Sabar dalam mengekang kemarahan. Sabar ini disebut lemah lembut (al-hilmu).
6- Sabar menyimpan rahsia. Sabar itu disebut katum.
7- Sabar memiliki kelebihan dan kemewahan. Sabar ini disebut zuhud.
Antara tujuh sabar itu, dimanakah tahap anda?
Kalau anda seorang lelaki yang diundang oleh seorang wanita ke rumahnya, mampukah anda menolaknya? Apabila anda berduaan tentu terdedah kepada keinginan seks, mampukah anda dan wanita itu mengekang nafsu masing-masing sedangkan peluang ke arah itu sudah terbuka luas? Inilah cabaran yang harus mereka lalui sebagai seorang muslim.
Percayalah jika anda dapat mengawal nafsu syahwat anda dan terus bertindak keluar dari rumah wanita tersebut, maka andalah lelaki yang sebenar-benar bersabar. Inilah lelaki yang dipelihara imannya dan inilah lelaki dijamin syurga. Begitu juga wanita tersebut jika dia mampu bertindak melindungi tubuhnya daripada disentuh lelaki, itulah wanita penyabar yang sudah pasti dijamin syurga.
Lelaki dan wanita dalam keadaan itu bukanlah calang-calang manusia kerana mereka boleh bersabar walaupun hati dan nafsu terlalu meruntun. Dengan kesabaran mereka itu maka layaklah mereka memasuki syurga Allah tanpa hisab.
Anda boleh menilai tahap sabar anda pada pecahan sabar di atas jika anda mahu. Tetapi ketahuilah tahap sabar ini sangat berkait dengan sejauh mana tinggi tahap iman anda. Imanlah yang menyebabkan anda boleh bersabar untuk menolak kemungkaran. Jadi, setiap orang Islam perlu memilki iman dan sabar pada tahap ini demi menghadapi cabaran masa kini.
No comments:
Post a Comment