Tuesday, April 26, 2011

Awas pencurian wang melalui LHDNM


KUALA LUMPUR, 26 April: Seluruh anggota masyarakat di negara ini dinasihatkan berhati-hati dengan e-mel (HASIL refund-payment@hasil.gov.my) ketika melayari internet, apabila ia telah dikesan sengaja diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuri wang orang ramai, terutama wang pembayar cukai.

E-mel yang masih muncul sekali-sekala ketika orang ramai melayari internet itu mengatakan para pembayar cukai layak diberikan bayaran balik sejumlah RM700.

Mereka lalu diminta klik kepada http//62.23.69.2/hasil.gov.my/index.php.htm yang mengarahkan pembayar cukai memberikan butiran diri dan nombor bank mereka.

Seorang pelayar internet yang juga pembaca Harakahdaily, Mohd Zamri Hassan, 45, dari Kuala Lumpur menegaskan, pihak LHDNM sememangnya telah pun membuat penafian mengeluarkan e-mel tersebut menerusi surat edarannya sejak 14 Mac 2010 lalu untuk mengelakkan orang ramai terus tertipu.

Menurut beliau, surat edaran tersebut telah dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi Korporat LHDNM, Mazlan Wan Chik yang menjelaskan tentang pengesahan LHDNM bahawa e-mel tersebut adalah palsu.

"Sebaliknya, ia merupakan aktiviti phising oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuri maklumat dan wang pembayar cukai," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Sehubungan itu, menurut beliau, LHDNM turut menasihatkan orang ramai yang menerima e-mel tersebut agar tidak membukanya serta menghapuskannya serta dilarang memberikan sebarang maklumbalas terhadap arahan yang terkandung di dalamnya.

Unit Keselamatan ICT, Jabatan Teknologi Maklumat, LHDNM, katanya dilaporkan telah bertindak pantas dengan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, apabila mengesan aktiviti tersebut dan laman tersebut juga telah dipintas dan ditutup.

"Menerusi surat edaran tersebut turut dijelaskan bahawa kewujudan e-mel tersebut adalah cubaan kali ketiga dari pihak tidak bertanggungjawab untuk menipu pembayar cukai. Jadi, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati supaya tidak tertipu apabila menerima e-mel tersebut dan e-mel sepertinya," tegasnya.

Sebaliknya, para pembayar cukai sendiri perlu sedar bahawa setiap data dan maklumat pembayar cukai adalah dijamin selamat dalam simpanan LHDNM.

Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan dan kemusykilan berkaitan perkara itu bolehlah berhubung dengan Pusat Khidmat Pelanggan LHDNM di talian 1-300-88-3010 atau melalui e-mel callcentre@hasil.gov.my.

Namun Mohd Zamri hairan, walaupun tindakan tegas dan pantas dikatakan telah diambil oleh pihak LHDNM dan pihak bertanggungjawab yang lain, beliau dan beberapa orang rakannya masih lagi terkesan e-mel tersebut yang muncul sekali-sekala ketika mereka melayari internet.

"Saya sendiri mujurlah tidak tertipu kerana cepat dimaklumkan oleh rakan saya mengenai perkara itu yang turut forward surat atau e-mel edaran LHDNM itu kepada saya," katanya.

Oleh itu, beliau berharap agar pihak-pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan lebih berkesan ke arah mengatasinya agar e-mel tersebut dan yang sepertinya tidak lagi bermaharajalela mengambil kesempatan menipu orang ramai menerusi perkembangan internet atau dunia tanpa sempadan.

No comments:

Post a Comment