Saturday, April 9, 2011

Aurat Wanita-Bahagian 2

Selain di hadapan suami dan mahram, di hadapan siapa lagi wanita diberi kelonggaran untuk memperlihatkan perhiasan khafiynya?

1. Sama-sama kaum wanita
2. Di hadapan hamba-hamba mereka
3. Orang gaji lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
4. Kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan.

Di hadapan mereka harus seorang wanita memperlihatkan perhiasan khafiynya. Oleh itu, dibenarkan ia membuka tudung di hadapan mereka dengan syarat aman dari fitnah. Keharusan ini adalah adalah berdasarkan ayat 31 (dari surah an-Nur) tadi.

Apakah batasan aurat sesama wanita?

1. Aurat di hadapan wanita Islam. 

Aurat seorang wanita di hadapan wanita Islam adalah menyamai batasan auratnya di hadapan mahramnya, iaitu;

a) Menurut jumhur ulamak; antara pusat dan lutut. Jadi menurut pandangan jumhur ini, harus seorang wanita mendedahkan mana-mana bahagian dari badannya di hadapan wanita Islam kecuali bahagian antara pusat dan lutut sahaja.

b) Menurut sebahagian ulamak; seluruh badannya adalah aurat kecuali kepala, muka, dada, dua lengan dan dua betis. Jadi menurut pandangan ini, harus seorang wanita mendedahkan kepala, muka, dada, dua lengan dan dua betisnya di hadapan wanita Islam. Bahagian lain tidak harus didedahkan kerana ia masih tetap aurat walaupun di hadapan wanita Islam.[9]Pandangan ini ditarjih oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi sebagaimana dinyatakan tadi (sila baca kembali; aurat wanita di hadapan mahramnya).

2. Aurat di hadapan wanita kafir

Terdapat banyak khilaf di kalangan ulamak tentang aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir;

a) Menurut sebahagian ulamak (iaitu setengah ulamak mazhab Maliki dan Syafi’ie); aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir ialah seluruh badan kecuali muka dan tangan sahaja, yakni sama seperti aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi.

b) Menurut mazhab Hanafi, mazhab Syafi’ie (mengikut qaul yang muktamad) dan setengah ulamak mazhab Maliki; aurat seorang muslimah di hadapan wanita kafir ialah seluruh badannya kecuali bahagian yang terpaksa dizahirkan ketika bekerja kerana menjadi keperluan pada kebiasaannya untuk dizahirkan. Menurut Imam al-Qurtubi; ini merupakan pandangan kebanyakan ulamak Salaf dan menjadi pandangan Ibnu ‘Abbas, Mujahid dan Ibnu Juraij.

c) Menurut sebahagian ulamak yang lain; sama seperti auratnya di hadapan wanita Islam tadi iaitu antara pusat dan lutut (mengikut pandangan jumhur ulamak). Pandangan ini merupakan mazhab Hanbali dan pegangan sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki. Menurut Imam Fakhrurazi; inilah pandangan yang lebih mudah bagi manusia hari ini kerana hampir tidak mungkin untuk para muslimah hari ini berhijab tatkala berhadapan wanita-wanita zimmah..”.[10]

Ada di kalangan ulamak tidak mengkategorikan aurat wanita sesama wanita dengan kategori Islam dan kafir, akan tetapi dengan kategori baik atau jahat, berakhlak atau tidak berakhlak;

a) Wanita yang dikenali berakhlak dan baik; harus membuka hijab di hadapannya sama ada ia Islam atau kafir (yakni sekadar yang harus dibuka di hadapan mahram).

b) Wanita yang dikenali sebagai jahat dan tidak berakhlak; tidak harus membuka hijab di hadapannya melainkan sekadar memperlihatkan muka dan tangan sahaja, tanpa mengira wanita itu Islam atau kafir. Begitu juga, jika berhadapan wanita yang tidak dikenali. Jadi, tatkala berhadapan dengan wanita yang jahat dan tidak berakhlak (sama ada ia Islam atau kafir) atau wanita yang tidak dikenali, tidak harus seorang muslimah mendedahkan tubuhnya melainkan sekadar muka dan tangan sahaja, iaitu sama seperti ketika ia berhadapan lelaki ajnabi.[11]

Ada sebahagian orang hari ini mempertikai kewajipan memakai tudung kepala? Menurut mereka; tidak ada dalil bagi kewajipan bertudung. Benarkan dakwaan mereka?

Tidak benar. Kewajipan bertudung sabit dengan dalil al-Quran, as-Sunnah dan disepakati oleh sekelian ulamak (ijmak).

1. Di dalam al-Quran, perintah bertudung dengan jelas dapat difahami dari firman Allah dalam surah an-Nur tadi;

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
“Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga ke dada-dada mereka”. (an-Nur: 31)
Al-Khumur dalam ayat di atas adalah kata jama’ (plural) bagi kalimah al-Khimar yang memberi erti tudung atau kain penutup kepala. Pengertian ini telah disepakati oleh para ulama’ tafsir dan juga kamus-kamus Bahasa Arab yang muktabar. Syeikh Nasiruddin al-Bani dalam kitabnya “Hijab al-Mar’ah al-Muslimah” (Pakaian wanita Islam) menyebutkan bahawa makna tersebut tidak ada sebarang khilaf di kalangan ulama’ (yakni semua ulama’ sepakat memberi makna al-khimar sebagai tudung atau kain penutup kepala).[12] Menurut Imam Thabari dalam tafsirnya iaitu Tafsir at-Thabari, ayat tersebut memberi pengertian; “Hendaklah wanita-wanita beriman melabuhkan tudung-tudung mereka hingga ke dada mereka untuk menutup dengannya rambut, leher serta anting-anting mereka”. (Tafsir at-Thabari, Ibnu Jarir at-Thabari, surah an-Nur, ayat 31)

2. Dalil dari as-Sunnah ialah;

a) Sabda Nabi s.a.w. kepada Asma’ dalam hadis yang telah dikemukakan sebelum ini; “Wahai Asma’, seorang wanita apabila telah datang haidh (yakni telah sampai umur baligh) tidak harus dilihat dari badannya melainkan ini dan ini sahaja ”, sambil baginda menunjukkan kepada muka dan dua tangannya” (Riwayat Imam Abu Daud). Hadis jelas menunjukkan bahawa kepala adalah aurat dan wajib ditutup di mana Rasulullah s.a.w. hanya mengisyaratkan kepada muka dan tangan sahaja ketika menjelaskan bahagian badan yang harus didedahkan.

b) Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Aisyah r.a. menceritakan; “Semoga Allah mengurniakan rahmat/kasih sayang kepada wanita-wanita Muhajirin yang awal. Tatkala turun ayat “وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ” (yang bermaksud: hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan tudung-tudung mereka hingga ke dada-dada mereka), mereka memotong kain-kain bulu mereka, lalu mereka bertudung dengannya”. (Rujuk;Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nur, ayat 31)

c) Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu; (1) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya, dan (2) Wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepadanya. Kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian sekian jauh” (Riwayat Imam Muslim).[13]

3. Dari penelitian kita terhadap pendapat-pendapat ulama’ dari pelbagai mazhab, kita dapati tidak ada ulama’ yang mengecualikan kepala atau rambut dari aurat. Mereka hanya berikhtilaf (berbeza pendapat) pada muka, tangan, lengan dan kaki; ada ulama’ menyatakan anggota-anggota ini termasuk dalam aurat yang wajib ditutup dan ada ulama’ yang menyatakan tidak. Tentang kepala dan rambut, semua ulamak sepakat menyatakan bahawa ia adalah anggota yang wajib ditutup. Jadi, suara-suara sumbang yang mengajak wanita membuka tudung dan mendedahkan kepala dan rambut mereka di khalayak ramai, suara tersebut jelas bercanggah dengan ijma’ ulama’ di samping menyalahi nas al-Quran dan as-Sunnah yang telah kita bentangkan tadi.

Sejauhmana keharusan lelaki melihat kepada wanita?

Harus lelaki memandang wanita tetapi dengan tiga syarat;

1. Melihat kepada tempat bukan aurat (iaitu muka dan tangan sahaja). Adapun kepada aurat dilarang sama sekali sekalipun tanpa syahwat.

2. Melihat tanpa disertai syahwat. Jika dengan syahwat, haram melihatnya sekalipun pada tempat yang bukan aurat.

3. Tidak dikhuatiri mendatangkan fitnah.

Larangan melihat kepada aurat berdalilkan sabda Nabi s.a.w.;

لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلاَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلاَ تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ
“Janganlah lelaki melihat kepada aurat lelaki lain, janganlah wanita melihat aurat wanita lain. Jangan lelaki sesama lelaki berada di dalam satu pakaian dan janganlah wanita bersama wanita berada dalam satu pakaian” (HR Imam Muslim dari Abi Sa’id al-Khudri r.a.)

Apa hukum bersentuhan antara lelaki dan perempuan?

1. Jika hubungan mereka adalah suami-isteri, harus mereka saling bersentuhan tanpa ada had dan batasan, yakni harus bagi suami atau isteri menyentuh mana-mana bahagian dari badan pasangan masing-masing tanpa sebarang pengecualian.

2. Jika hubungan mereka adalah sesama mahram; harus mereka bersentuhan –sama ada bersalaman, memegang atau sebagainya-, akan tetapi khusus bagi kawasan yang bukan aurat sahaja, iaitu kawasan yang harus dilihat oleh mahram. Adapun kawasan aurat, tidak harus menyentuhnya sekalipun sesama mahram. Kaedahnya; “Bahagian yang tidak harus dilihat, maka menyentuhnya juga tidak harus. Bahagian yang harus dilihat, maka menyentuhnya juga harus (dengan syarat tanpa syahwat dan tidak mendatangkan fitnah)”.[14]

3. Jika mereka adalah ajnabi (tiada hubungan sebagai suami-isteri atau hubungan mahram); tidak harus sama sekali bersentuhan termasuk bersalaman.

Apa dalil larangan bersentuhan antara lelaki dan wanita yang ajnabi? [15]

1. Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan;

وَاللَّهِ مَا مَسَّتْ يَدُهُ يَدَ امْرَأَةٍ قَطُّ فِي الْمُبَايَعَةِ وَمَا بَايَعَهُنَّ إِلَّا بِقَوْلِهِ
“Demi Allah, tidak pernah sekalipun tangan Nabi s.a.w. menyentuh tangan wanita semasa berbai’ah. Baginda tidak membai’ah mereka melainkan dengan ucapannya sahaja” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Sekiranya antara lelaki dan wanita ajnabi boleh bersentuhan, sudah tentu Nabi s.a.w. akan membai’ah kaum wanita dengan berjabat tangan dengan mereka kerana itu yang biasa dilakukan oleh Nabi tatkala berbai’ah dengan kaum lelaki.

2. Dari Ma’qal bin Yasar r.a.; bahawa Nabi s.a.w. bersabda;

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لا تَحِلُّ لَهُ

“Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi. Berkata al-Haithami; para perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh. Berkata al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216).

Benarkah ada ulamak yang mengharuskan lelaki bersalaman dengan wanita yang telah tua yang tiada lagi syahwat?

Ya, iaitu ulamak-ulamak mazhab Hanafi. Mereka berpandangan; harus seorang lelaki bersalaman dengan seorang wanita tua yang tidak lagi ada syahwat/keinginan kepadanya. Begitu juga, harus seorang wanita bersalaman dengan lelaki tua dengan syarat aman dari fitnah (yakni aman dari dorongan nafsu sama ada dari dirinya atau dari diri lelaki tua itu). Jika tidak aman dari fitnah, tidak harus bersalaman.

Namun menurut jumhur ulamak; haram bersalaman antara lelaki dan wanita ajnabi sama ada muda atau tua, sama ada masih ada syahwat atau tiada syahwat kerana dalil-dalil tadi menyebutkan pengharaman secara umum tanpa adanya pengecualian.[16]

Nota Hujung;

[9] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 89.
[10] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 90.
[11] Tafsir surah an-Nur, Dr. Abdullah Mahmud Syahatah, hlm. 143-144.
[12] Lihat nota kaki, m.s. 33.
[13] Berkata Dr. Yusuf al-Qaradhawi; “Rasulullah s.a.w. melalui pandangan ghaibnya seolah-olah melihat kepada zaman ini, zaman di mana terdapat kedai-kedai atau salun-salun khas untuk menggubah rambut wanita, mencantikannya dan mempelbagaikan fesyen-fesyennya. Biasanya kedai-kedai atau salun-salun ini diselia oleh lelaki-lelaki yang melakukan kerja mereka bagi mendapat upah atau bayaran. Bukan sekadar itu, malah ramai wanita yang tidak memadai dengan rambutnya yang sedia ada yang dianugerahkan Allah, maka mereka membeli pula rambut-rambut palsu. Rambut palsu ini mereka sambungkan dengan rambut asal mereka untuk kelihatan lebih ikal, bersinar dan cantik, supaya dengan itu diri mereka menjadi lebih menarik dan menggoda…”. (al-Halal wa al-Haram, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, halaman 84-85)
[14] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 88-89.
Syarat aman dari fitnah itu perlu diberi perhatian terutama di zaman hari ini. Antara mahram yang masih muda terutamanya (seperti antara adik dan kakak, abang dan adik perempuan dan sebagainya) hendaklah lebih berjaga-jaga kerana sentuhan yang berlebihan mungkin membawa bangkitnya nafsu. Apatahlagi pada masa kini di mana wujud banyak factor pendorong nafsu yang boleh melarikan seseorang dari fitrah asalnya. Lagipun banyak kes sumbang mahram dilaporkan. Kerana langkah berjaga-jaga itulah Imam Ahmad memakruhkan seorang lelaki melihat betis ibunya dan juga dada ibunya kerana khuatir mendorong kepada syahwat. Maka yang terbaik ialah seorang lelaki itu tidak masuk ke dalam bilik ibu, anak perempuan dan kakak atau adik perempuannya kecuali setelah keizinan mereka. Adapun untuk masuk ke dalam bilik isterinya cukup dengan memberi salam sahaja, tanpa perlu meminta izin. (Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 89 (halaman muka dan juga nota kaki no. 1)). 
[15] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 107.
[16] Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 108.

No comments:

Post a Comment