Tuesday, April 5, 2011

Ada harapan naik lagi ni heheheheee

Harga minyak mentah dunia naik

Susulan pemulihan pasaran pekerjaan di AS

HARGA minyak mentah dunia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 30 bulan iaitu melebihi AS$108 setong dalam dagangan Asia semalam susulan pemulihan pasaran pekerjaan di Amerika Syarikat (AS) yang merangsang minat pelabur bahawa permintaan bahan api akan meningkat.

Penanda aras utamanya, harga kontrak April minyak mentah New York Mercantile Exchange ketika didagangkan dalam pasaran elektronik Asia petang semalam meningkat 30 sen kepada AS$108.24 setong berbanding AS$107.94 setong ketika ditutup pada Jumaat lalu.
Sementara itu, di pasaran London, harga kontrak April bagi minyak mentah Brent meningkat 21 sen kepada AS$118.91 setong di ICE Futures Exchange.

AS pada Jumaat lalu berkata, ekonominya memperlihatkan peningkatan 216,000 peluang pekerjaan baru pada bulan lalu dan penurunan kadar pengangguran kepada 8.8 peratus, justeru meningkatkan keyakinan pelabur kepada peningkatan keupayaan berbelanja penggunanya.

Pelabur turut memantau rapat perkembangan di Libya dengan pertempuran semakin sengit selepas tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi mengawal hampir keseluruhan barat negara anggota OPEC itu, manakala pemberontak merampas hampir sebahagian besar pantai timurnya.

Pada Ahad lalu, wakil Gaddafi memberitahu Perdana Menteri Greece bahawa pemimpin Libya itu sedang mencari penyelesaian kepada krisis negara itu dua minggu selepas kerajaannya melakukan serangan ke atas pemberontak justeru, mengakibatkan serangan udara balas daripada sekutu AS. 

Sebilangan penganalisis berpendapat, harga minyak mentah yang meningkat kira-kira 29 peratus sejak 15 Februari lalu, akan kembali susut kecuali AS mengumumkan program baru untuk menyediakan lebih banyak kecairan atau merebaknya tunjuk perasaan menentang kerajaan di Asia Barat dan Afrika Utara.

“Untuk harga minyak meneruskan peningkatan, ia memerlukan perkara atau situasi baru dalam konflik yang berlaku,” kata perunding NUS, Richard Soultanian.

“Jika hal itu terjadi, kami percaya harga minyak akan naik,” katanya.

Dalam dagangan Nymex yang lain pada kontrak April, minyak pemanas naik satu cent kepada AS$3.14 setong dan petrol meningkat 1.1 cent menjadi AS$3.16 setong. Harga hadapan gas asli turun 5.3 cent kepada AS$4.30 bagi setiap 1,000 kaki padu. BH

No comments:

Post a Comment