Thursday, March 24, 2011

Bolehkah menyeru, memohon dan meminta pertolongan kpd roh atau mereka yg telah mati?

SOALAN :
Adakah menyeru, memohon, meminta pertolongan atau berdoa kepada roh orang-orang yang sudah mati sama ada roh para rasul, para nabi, orang-orang soleh atau orang yang dikeramatkan termasuk dalam perbuatan kuburi (penyembah atau pemuja kubur)?


JAWAPAN :

Menyeru, memohon dan meminta pertolongan dalam urusan yang ghaib adalah dinamakan berdoa. Doa dimaksudkan dalam syara ialah menghadapkan diri (hati) semata-mata kepada Allah, khusyu’, tawadhu’, tunduk, taat, merendahkan diri dan menghinakan diri kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Oleh yang demikian tidak boleh berdoa kepada roh orang yang sudah mati tidak kira siapa orangnya, maka perbuatan tersebut termasuk dalam perbuatan (pekerjaan) kuburi. Perbuatan seperti ini amat keji kerana membawa kepada perbuatan yang menyebabkan berlakunya kesyirikan.

Meminta-minta (berdoa) dalam urusan ghaibiyah hanyalah kepada Allah Ta’ala sahaja sebagai Ilah (Tuhan) tempat diseru dan yang berhak diseru. Memohon, meminta pertolongan atau berdoa itu dianggap sebagai ibadah, maka ibadah hanya dibolehkan kepada Allah Ta’ala semata. Menyeru selain Allah adalah perbuatan syirik besar. Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda:

“Dari Nu’man bin Basyir radhiallahu ‘anhu, dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam baginda bersabda: Doa itu adalah ibadah. Kemudian baginda membaca ayat (dan telah berfirman Rabbmu, berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan)”. Hadis sahih riwayat Abu Daud (1479). Ahmad 4/267, 271, 276, 277. Bukhari dalam Adab al-Mufrad (714). Hakim, 1/491. Ibnu Majah (3828). Ibnu Hibban (2397). Dan Turmizi.

“Maka janganlah kamu menyeru tuhan yang lain di samping Allah, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang diazab”. ASY-SYUARA, 26:213.

“Janganlah kamu seru di samping Allah tuhan apapun yang lain, tiada Tuhan yang berhak diibadahi selain Dia”. AL-QASAS, 28:88.

Oleh yang demikian sesiapa yang menyeru, memohon, mengharap, meminta pertolongan atau berwasilah kepada roh orang yang telah mati sama adan roh para rasul, nabi, wali atau orang yang disucikan, maka perbuatan tersebut adalah perbuatan “kuburi”, keji, dosa besar, dilaknat dan syirik.

Semoga Allah Azza wa-Jalla sentaisa memelihara dan menyelamatkan akidah orang-orang yang beriman, yang beristiqamah, yang bertakwa, yang rajin membaca kitab-kitab agama dan yang tekun menyibukkan dirinya dengan mempelajari ilmu-ilmu agama terutamnya ilmu akidah. Amin Ya Rabbal ‘Alamin!

No comments:

Post a Comment