Sunday, February 27, 2011

Solat Jamak dan Qasr

SOLAT QOSOR (QASR)


Menurut Mazhab Syafii ada beberapa syarat untuk membolehkan solat diqosor (dipendekkan bagi solat 4 rakaat sahaja mengikut catatan dalam Mughni al-Muhtaj, 1/359-365) :- 

i. Jarak untuk bermusafir melebihi 85 KM. 

ii. Hanya boleh di qasar setelah melepasi sempadan kampung atau taman perumahannya. 

iii. Mengetahui dan menentukan destinasinya dengan tujuan yang baik dan bukan bertujuan maksiat. 

iv. Tidak berimamkan orang yang menunaikan solat penuh (4 rakaat).

v. Berniat qasar semasa takbiratul ihram solatnya. 

vi. Mestilah solat qasar itu dilakukan dalam keadaan bermusafir dari awal hingga akhirnya. 

vii. Jika ia berniat (semasa bertolak) untuk duduk di sesuatu destinasi lebih dari (3) tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan pulang), maka ia tidak berhak untuk melakukan qasar solat, sejurus sampainya ia ke destinasi itu. Jika ia tidak berniat lebih dari tiga hari atau langsung tidak punyai niat berapa hari, kiraan 3 hari adalah tidak termasuk hari sampai dan hari pulang. Dalamtempoh itu, ia boleh menqasarkannya jika tiada niat 3 hari. 



SOLAT JAMA'


Solat jama' pula semua syaratnya sama dengan solat qasar. Berikut maklumat beberapa maklumat tentang jama' solat :- 

i. Jama' tidak hanya tertakluk kepada keadaan musafir, terdapat keadaan sukar yang lain seperti hujan terlampau lebat, salji, keadaan merbahaya di luar, sakit (mazhab Syafie tidak membenarkan jamak kerana sakit tetapi harus menurut mazhab Maliki dan Hanbali, Rujuk Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibn Hubayrah, 1/150), semasa Haji, itulah beberapa contoh keadaan yang di benarkan untuk di jama' kan solat. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1375) 

ii. Solat jama' boleh dilakukan dalam dua bentuk :- 

Pertama : Jamak Taqdim 
Ertinya : Digabungkan dua solat dalam waktu solat yang pertama seperti zohor dan asar di dalam waktu zohor, atau maghrib dan isyak di dalam waktu maghrib. 

Ia berdasarkan hadith shohih dari Muadz Bin Jabal riwayat Ahmad, Tirmidzi Ibn Hibban dan lain-lain. 

Syaratnya : 

1) Solat dilakukan menurut tertibnya atau yang awal terlebih dahulu (zohor dahulu dan asar di kemudiannya, maghrib dahulu dan isyak di kemudiankan), jika tidak maka batal solatnya menurut mazhab Syafie. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/371 ) 

2) Berniat jamak ketika solat pertama dilakukan, dan harus juga berniat jamak walaupun solat telah bermula. Lafaz niatnya tidaklah perlu di baca dalam bahasa arab, dalam bahasa melayu juga di benarkan. Tatpi perlu ingat lafaz niat bukannya niat tetapi hanya sebagai pembantu agar niat boleh hadir dengan lebih mudah. Lazfa niat ini adalah saranan mazhab Syafie sahaja, manakala Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melakukannya, justeru jika mampu menghadirkan niat di dalam hati tanpa berlafaz, itu yang terbaik. 

3) Mestilah berturut-turut (Muwalat); Pastikan jangan terdapat pemisahan yang agak panjang atau urusan lain di tengah-tengah kedua-dua solat. 

Kedua : Jamak Ta'khir

Ertinya : Menggabungkan dua solat dalam satu waktu, iaitu waktu solat yang terkemudian. (seperti zohor dan asar di tunaikan dalam waktu asar). 

Ia dibenarkan syarak berdasarkan hadith yang sohih dari Anas dan Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. (Rujuk Naylul Awtar, 3/212) 

Syarat-syaratnya : 

1) Niat Ta'khir sebelum habisnya waktu solat pertama (iaitu niat dilewatkan solat pertama untuk digabungkan dalam waktu asar atau isyak) 

2) Berterusan dalam keadaan musafir sehingga tamat solat yang kedua. 



Kedudukan Kampung Halaman Sebagai Destinasi Musafir


Mengikut Kitab Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1362 cet 4, dar Al-Fikr,Jamak TIDAK BOLEH dilakukan sekiranya destinasi perjalanan itu adalah kampung halaman sendiri adalah seperti berikut ):- 

a- Seseorang yang bekerja atau berniaga di KL, manakala kampung halaman/kelahirannya di Marang, Terengganu atau mana-mana jarak yang melebihi 85 KM. Apabila dia sampai ke kampong asalnya ( ibu bapanya juga di sana), dia tidak boleh lagi menqasarkan solat kerana ia tidak dikira bermusafir lagi apabila telah sampai ke kampung walaupun berniat duduk kurang dari 3 hari. 

b- Seseorang yang kampung kelahirannya di Selangor, dan ia bekerja di Pulau Pinang dan kampung halaman isterinya di Kedah. Apabila ia balik ke kampung isterinya, isteri tidak boleh qasar dan dia (suami) juga tidak boleh qasar apabila telah sampai ke tempat yang dituju. Bagaimanapun terdapat pandangan mengatakan si suami berhak menjamak dan qasar kerana ia bukan tempat tinggalnya. Bagi saya, keluar dari yang khilaf adalah lebih baik dalam hal ini. 

c- Sekiranya ia dalam perjalanan balik dari kampung Terengganu, Johor atau Peraknya ke KL, dia juga tidak boleh meng"qasar"kan solat apabila telah sampai ke rumahnya di KL. 

Adapun syarat "tidak berada lebih tiga (3) hari (tidak termasuk hari perjalanan iaitu hari sampai dan hari balik) di sesuatu tempat perhentian" adalah syarat untuk qasar sahaja. Adapun solat jamak, maka ia masih di bolehkan jika terdapat sebab-sebab yang di sebutkan di atas. 

WA.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular