Monday, February 28, 2011

Gurauan menjadi nyata

Gurauan mati jadi nyata


TUMPAT - Gurauan terakhir seorang suami kepada isteri yang menyatakan dia akan mati menjadi nyata apabila ditemui mati dengan muka tersembam selut dalam parit bersebelahan tali air di Taman Sri Kebakat di sini, semalam. 

Mangsa, Lee Ban Seng, 49, mengungkapkan kata-kata “saya akan mati” kepada isterinya, Mek Kechan Aik Erizk, 52, Jumaat lalu. 

“Dua hari lalu ketika sedang melipat kain, suami saya kata, dia nak mati dah, saya ingatkan dia bergurau,” katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Taman Kebakat. 

Mek Kechan berkata, kejadian suaminya terjatuh parit bersama motosikalnya disedari seorang penduduk yang kebetulan melalui jalan tali air ini ketika berjoging, jam 7 pagi. 

“Air dalam parit bukannya dalam, hanya paras betis, mungkin kerana mukanya tersembam dalam air selut dan motosikal yang ditunggangi menindihnya, menyukarkannya untuk bangun,” katanya yang memaklumkan lokasi kejadian hanya beberapa meter dari rumahnya. 

Menurutnya, suaminya turun dari rumah sejak petang semalam (kelmarin) lagi, untuk menemui adiknya di Kampung. 

“Dia keluar rumah kira-kira jam 7 petang semalam (kelmarin), semalam dia tidak bermalam di rumah. 

“Mungkin malam semalam lagi, suami saya terjatuh parit berkenaan, saya percaya dia cuba mengelak jalan rosak ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sehingga menyebabkan motosikal yang ditungganginya sebelum terjatuh,” katanya yang mempunyai enam anak. 

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu. 

“Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut, tiada unsur jenayah,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment