Monday, July 29, 2013

Tahniah buat Ketua DPP Gombak dan JUHAM kerana berani menyatakan pendirian..

1. Setelah saya mengamati tulisan berbalas jawab antara keduanya iaitu Ketua DPP Gombak dan JUHAM berkait isu bekas calon PKR mahu saman Tuan Guru Hj Abdul Hadi, saya senyum sendiri penuh bangga terhadap reaksi anak buah. Point sepakat antara mereka ialah kasihkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi selaku Presiden PAS walaupun beberapa keadaan lain mereka berbeza pendekatan.

2. Sewaktu tercetus isu bekas calon PKR mahu saman Tuan Guru Presiden PAS, memang tiada siapa yang respon. Saya percaya masing - masing mempunyai cara takwil dan tafsir yang tersendiri terhadap keadaan ini. Bukanlah kerana mereka redha Tuan Guru Presiden di saman orang malah saya yakin , akan tampil para aktivis dan peguam kita untuk membela Tuan Guru Presiden. Namun sahabat saya dari JUHAM sebagai peguam yang sangat arif dengan mainan saman menyaman ini telah mampu menghidu lebih awal bahawa ini tidak lebih sekadar irama politik yang telah diketahui key note terutamanya apabila pengisytiharan saman itu di buat dalam suasana menghadapi pilihanraya kecil DUN Kuala Besut.

3. Sementara pendekatan sahabat saya Ketua DPP Kawasan Gombak pula tampil memecah kesunyian lalu memuktamadkan bahawa ada pihak yang sedia membela Tuan Guru Presiden. Seolah - olah takdir kalamnya , beliau seperti berkata, kalau orang lain enggan bersuara untuk mempertahankan Tuan Guru Presiden, maka biar sayalah yang bersuara. Melalui bait - bait artikel beliau, saya yakin bahawa itu bukan kenyataan membodek kerana tidak ada apa pun habuan yang bakal beliau perolehi samaada harta atau pangkat. Sementelah Islam yang dipelajari melalui Usrah Gabungan saban minggu di Gombak tidak mendidik anggotanya menjadi pembodek. Kenyataan itu pastinya datang dari hati yang tulus kerana kasih dan cinta kepada pemimpin mereka yang cuba diseret ke mahkamah.

4. Cuma laras bahasa Ketua DPP Gombak mungkin disalah tanggap dan menyentuh sensitiviti pihak lain termasuk JUHAM. Akhirnya JUHAM pula tampil menjawab balas kenyataan Ketua DPP Gombak, kerana bukan Ketua DPP Gombak sahaja yang sayangkan Tuan Guru Presiden tetapi JUHAM juga kasih dan sayangkan Tuan Guru Presiden. Sekaligus memadamkan fitnah kononnya peguam PAS yang merupakan sebahagian dari tenaga profesional dalam PAS tidak bersama Tuan Guru Presiden. Melalui jawapan JUHAM itu, secara tidak langsung memuktamadkan sikap dan isihati mereka. Bahawa mereka tetap mempertahankan kepimpinan Tuan Guru Presiden. Zahirnya mereka dilihat seperti bertelingkah tetapi tidak membimbangkan saya kerana kedua - dua pihak rupanya sedang berusaha untuk menyatakan rasa kasih dan sayang mereka kepada Tuan Guru Presiden sebagai pemimpin jamaah selama mana pemimpin tertinggi jamaah itu terus berdiri di atas syariat Islam yang diperjuangkan.

5. Selaku Ketua DPP Malaysia, saya ucapkan setinggi - tinggi tahniah buat keduanya kerana berani menyatakan pendirian. Pendirian itu pula bertepatan dengan pendirian DPP Malaysia selama ini iaitu teguh mempertahankan Kepimpinan Ulama' dan menyatakan kasih dan sayangnya mereka kepada pimpinan selama mana pimpinan itu tidak menyeleweng dari landasan syara'. Saya juga sangat mengenali keduanya. Mereka mempunyai komitmen yang tinggi bersama jamaah pula banyak pengorbanan mereka telah dicurahkan untuk membangunkan jamaah dari sudut masing - masing. Sekali lagi, tahniah dari saya buat kalian semua.

Selamat Berjuang

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPPM

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular