Wednesday, June 1, 2011

Kes Kematian Ahmad Sarbani: PKR Serah Memo Kepada KPN Tuntut Jawapan (+Video)


Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menuntut penjelasan terbuka mengenai siasatan keatas kematian seorang pegawai Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbani Mohamed yang kelihatan dipinggirkan.


Ini berikutan sehingga kini tiada maklumat atau tangkapan dibuat pihak polis walaupun laporan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang hanya dikenali sebagai Ghani mengakui bahawa pihaknya terlibat dalam kes kematian itu.


"Kita tidak nampak mengapa IGP tidak boleh memberi maklumbalas. (Sebentar tadi) kita hanya dapat nama pegawai yang kita akan hubungi dalam masa beberapa hari lagi untuk mendapatkan sedikit maklumat.

"Tapi saya juga desak pihak wartawan memberi tekanan untuk mendapat respon daripada pihak polis," kata Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang ditemui media turut berpendirian persepsi umum terhadap polis semakin menipis apabila siasatan polis diperhatikan menjurus kearah pendakwaan terpilih.

"Maka dalam isu penyiasatan sekalipun, kita perlu ada keutamaan. Kes kematian, bersabit dengan kerajaan sebegini, SPRM perlu mendapat keutamaan daripada PDRM," ujar beliau.

Allahyarham Ahmad Sarbani ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM, Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Beliau yang ketika itu berkhidmat sebagai pembantu pengarah di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor ditahan pada 1 April lalu bagi membantu siasatan membabitkan cukai tidak dibayar dan telah dibebaskan dengan ikat jamin pada 2 April.

Allahyarham kemudian datang semula ke pejabat SPRM untuk bertemu seorang pegawai penyiasat berhubung kesnya, namun menemui mayat pegawai kastam itu di tingkat bawah bangunan tersebut pada jam 10.15 pagi.

Siasatan ke atas Allahyarham dijalankan ekoran penahanan sejumlah 62 orang pegawai Kastam dalam satu operasi di Pulau Pinang, Selangor dan Pahang.

Operasi berkenaan dijalankan oleh satu tindakan bersama oleh SPRM, JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara.

Turut hadir menyerahkan memorandum di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi tadi termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Naib Presiden PKR, N Surendren dan Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip. -tvsnews




Kes Ahmad Sarbani: Memorandum untuk Ketua Polis Negara


TAN SRI HAJI ISMAIL BIN HAJI OMAR
KETUA POLIS NEGARA
IBU PEJABAT POLIS BUKIT AMAN
JALAN BUKIT AMAN
TASIK PERDANA
50560 KUALA LUMPUR

MENUNTUT TINDAKAN SEGERA ATAS MAKLUMAT BARU DALAM KES AHMAD SARBANI MOHAMED

1) Pada 6 April 2011, Penolong Pengarah Kastam Ahmad Sarbani Mohamed (umur 56 tahun) dijumpai mati di Tingkat 1, Ibu Pejabat SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.

2) Insiden ini yang mirip dengan kematian Teoh Beng Hock di SPRM Shah Alam, telah mengejutkan seluruh negara dan adalah diharapkan oleh rakyat bahawa tindakan cepat di ambil dan keluarga Ahmad Sarbani mendapat keadilan.

3) Walau bagaimanapun sehingga hari ini, tidak ada apa-apa tangkapan atau dakwaan di Mahkamah dibuat terhadap mana-mana individu berhubung kematian Ahmad Sarbani.

4) (a) Pada 2 Mei 2011, balu Ahmad Sarbani, Puan Maziah Bt Manap membuat satu laporan polis yang amat serius.

(b) Beliau menyatakan dalam laporannya bahawa Pegawai Penyiasat dari SPRM bagi kes kematian Ahmad Sarbani membuat pengakuan bahawa "orangnya" terlibat dalam kematian tersebut.

(c) Walaupun telah hampir sebulan sejak laporan tersebut dibuat, masih tiada tindakan lanjutan diambil oleh pihak polis.

5)Penyiasatan kes Ahmad Sarbani melibatkan kepentingan awam dan integriti institusi SPRM. Apakah sebab-sebab mengapa pihak polis dan Peguam Negara tidak mengambil tindakan sewajarnya dan secepat mungkin ?

DENGAN INI KAMI MENUNTUT

a) Bahawa tindakan menurut undang-undang dan prosedur jenayah dilakukan dengan dengan segera ke atas kesemua anggota SPRM yang terlibat dan/atau bertanggungjawab dalam kematian Ahmad Sarbani;

b) Bahawa PDRM memberi penjelasan terbuka mengapa tiada tindakan diambil sehingga sekarang terhadap pihak-pihak yang terlibat dan/atau bertanggungjawab dalam kematian Ahmad Sarbani;

c) Bahawa penyiasatan segera dilakukan atas kandungan laporan polis bertarikh 2 Mei 2011.

d)Bahawa perkembangan kes ini dimaklumkan kepada rakyat dan keluarga Ahmad Sarbani pada kadar segera.

e) Bahawa Ketua Polis Negara memberi akujanji bahawa kesemua kes profail tinggi seperti ini yang melibatkan kepentingan politik BN akan disiasat dengan adil, cepat dan telus, tanpa memihak kepada sesiapa dan walaupun melibatkan agensi kerajaan yang lain.

Tuntutan dari:
PARTI KEADILAN RAKYAT
GB 



Popout


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular