Wednesday, June 1, 2011

Habis Tanah Bumiputera Dijual Oleh UDA?

Nur Jazlan: Jual tanah tak rugi Bumi, tapi kukuh kewangan UDA

KUALA LUMPUR, 1 Jun – UDA Holdings Bhd memutuskan untuk menjual tanah di Jalan Sultan Ismail di sini, 1.15 hektar, kepada Mutiara Goodyear Bhd pada harga RM215.5 juta selepas mengambil kira pelbagai faktor terutama bagi mengukuhkan semula kedudukan aliran tunai kewangan GLC itu yang kini hanya RM90 juta.

Pengerusi UDA Holdings, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, keputusan itu yang diputuskan oleh Lembaga Pengarah juga membolehkan UDA Holdings menggunakan wang yang diperoleh hasil daripada penjualan berkenaan untuk mencari bank tanah syarikat yang baru bagi membangunkan bandar baru terutama sekali dalam kawasan Lembah Klang.

Sehubungan itu Nur Jazlan juga berkata, beliau mewakili Lembaga Pengarah UDA Holdings menafikan kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Exco Pemuda Umno Tengku Azman Tengku Zainol Abidin, yang disiarkan semalam bahawa penjualan tanah berkenaan merugikan golongan Bumiputera.

Bagaimanapun katanya, penjualan tanah di Jalan Sultan Ismail itu tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan sebagai kementerian yang bertanggungjawab penuh kepada UDA Holdings.

Kata beliau, UDA Holdings tidak lagi mempunyai bank tanah yang luas bagi membangunkan bandar baru, yang sedia ada hanya Bandar Tun Hussein Onn di Cheras dan tinggal 24 hektar lagi tanah yang belum mempunyai sebarang perancangan untuk dibangunkan manakala bakinya lebih 60 hektar sudah dan akan dibangunkan.

“Atas pertimbangan itu, UDA Holidngs Bhd perlu menjual tanah berkenaan terus kepada Mutiara Goodyear yang menawarkan harga terbaik lebih RM1,400 kaki persegi berbanding harga pasaran iaitu sekitar RM800 kaki persegi,” katanya.

Selain itu kata beliau, UDA Holdings juga sudah menjalankan kajian terhadap Mutiara Goodyear dan mendapati statusnya adalah sebagai sebuah syarikat Bumiputera.

Pada masa sama, tambah beliau, ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings juga mempertimbangkan supaya tanah berkenaan dibangunkan secara usaha sama dengan syarikat lain tetapi selepas kajian mendalam dilakukan didapati kerjasama itu akan mendedahkan syarikat kepada risiko tinggi terutama sekali daripada segi aliran bebas tunai.

“Ia berikutan pelbagai projek pembinaan yang akan dan sedang dibangunkan syarikat sekali gus memerlukan UDA Holdings mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi membiayai.

“Ahli Lembaga Pengarah UDA Holidngs juga berpendapat melalui penjualan tanah berkenaan, syarikat akan dapat membayar baki premium tanah tapak bekas Penjara Pudu berjumlah RM104 juta yang masih tertangguh, memandangkan KPTG menetapkan tarikh akhir untuk menjelaskannya adalah September ini, selain membiayai projek lain yang tergendala akibat kedudukan kewangan yang meruncing,” katanya.

Sebaliknya, kata beliau, penjualan tanah berkenaan adalah untuk manfaat masyarakat Bumiputera secara keseluruhannya terutama sekali UDA Holdings dalam memastikan syarikat terus berdaya saing hasil kedudukan kewangan yang kukuh.

“Selain itu, antara tahun 2004 dan 2005, UDA Holdings yang ketika itu, berada di bawah MRCB turut menjual tanah di Bangsar kepada UOA untuk mengukuhkan aliran kewangan tunai keika itu,” katanya lagi.

Oleh itu, kata beliau, ia membuktikan bahawa dari semasa ke semasa, UDA Holdings terpaksa menjual tanah miliknya untuk mengukuhkan aliran tunai syarikat bagi membiayai pelbagai keperluan berikutan tidak mendapat suntikan dana kewangan daripada kerajaan.

“Malah, kerajaan juga kini melaksanakan dasar penjualan tanah kepada syarikat swasta yang menawarkan harga tinggi bagi mendapatkan pulangan lebih baik selain membantu perkembangan kawasan bandar,” katanya.

Sehubungan itu, kata Nur Jazlan, beliau bersedia untuk bertemu dengan Reezal Merican dan Tengku Azman bagi mendapatkan gambaran serta penjelasan sebenar berhubung penjualan tanah berkenaan. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular