Tuesday, May 31, 2011

PKR cabar keputusan ROS batalkan parti


PKR hari ini menfailkan tindakan undang-undang terhadap Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi mencabar keputusan ROS untuk membatalkan pendaftaran parti itu.



PKR menfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, pada 2 petang tadi melalui Tetuan Edwin Lim Suren & Soh.

Dalam permohonan itu selain PKR, Presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail turut dinamakan sebagai pemohon, manakala ROS dinamakan sebagai responden.

PKR menfailkan permohonan itu berikutan notis bertarikh 9 Mei lalu yang dikeluarkan ROS bawah Seksyen 13(1) dan (2) Akta Pertubuhan 1966, untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

PKR antara lain memohon satu perintah larangan terhadap ROS bagi menghalang ROS daripada meneruskan apa jua tindakan melalui notis untuk membatalkan pendaftaran parti itu sehingga permohonan semakan kehakiman itu selesai didengar.

PKR mendakwa notis yang dikeluarkan ROS itu adalah tidak sah dan dibuat di luar bidang kuasa memandangkan fakta-fakta dan asas undang-undang yang didakwa dalam notis itu tidak pernah wujud.

PKR mendakwa alasan bahawa parti tersebut melanggar Fasal 32.2.1 Perlembagaan Parti kerana memecat A. Rajagopal tanpa dibicarakan oleh Lembaga Displin parti terlebih dahulu tidak berlaku dalam parti itu kerana fasal tersebut tidak wujud dalam perlembagaan PKR.

Parti itu berkata tidak ada anggota yang bernama A Rajagopal yang telah dipecat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi PKR pada 2009 dan keputusan ROS itu adalah sangat tidak adil terhadap parti itu kerana ia tidak sepadan dengan pemecatan seorang anggota parti daripada parti yang mempunyai seramai 404,558 anggota.

PKR mendakwa keputusan ROS bagi membatalkan parti itu dibuat berdasarkan niat jahat (mala fide) dan bertujuan semata-mata untuk menghalang parti itu daripada mengambil bahagian dalam pilihanraya umum akan datang.

Peguam N Surendran yang mewakili parti itu memberitahu pemberita di mahkamah bahawa ROS memberi parti itu tempoh sehingga 9 Jun ini untuk memberi sebab mengapa pendaftarannya tidak patut dibatalkan.

Beliau mempersoalkan mengapa baru sekarang ROS mahu membatalkan parti itu kerana pemecatan lelaki bernama 'Rajagopal' itu berlaku pada 2009. - MK


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular