Tuesday, May 31, 2011

Gas asli Malaysia masih murah

Berita Harian Online
Thailand RM18.23; Indonesia RM21.04; Singapura RM43.32

PUTRAJAYA: Harga gas asli di Malaysia masih murah berbanding negara jiran meskipun dengan kenaikan mulai hari ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. 



Malah, sebelum atau selepas kenaikan, harga di negara ini murah dibandingkan dengan Thailand sebanyak RM18.23 setiap juta unit termal British (MMBtu), Indonesia RM21.04, Singapura RM43.32 dan Vietnam RM18.70.

Nor Mohamed berkata demikian selepas mengumumkan kenaikan harga gas asli daripada RM10.70 setiap MMBtu kepada RM13.70, di sini semalam, seiring kenaikan harga tenaga global.

Beliau berkata kenaikan dalam bekalan gas ke sektor perindustrian adalah wajar, iaitu daripada RM15 setiap MMBtu kepada RM16.07 setiap MMBtu, jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Thailand (RM19.46), Indonesia (RM18.74) dan Singapura (RM133.45). 



PETRONAS akan menaikkan harga gas yang dibekalkan kepada sektor elektrik dan perindustrian sebanyak RM3 setiap MMBtu setiap enam bulan mulai esok sehingga Disember 2015. Namun, mulai 2016, harga gas akan mengikut harga pasaran. 



Nor Mohamed juga berkata, sehingga akhir 2010, PETRONAS menyalurkan kira-kira RM131.3 bilion dalam bentuk subsidi gas kepada kedua-dua sektor kuasa dan bukan kuasa. 

"Jika harga gas kekal pada RM10.70 setiap MMBtu dalam sektor kuasa dan RM15.35 setiap MMBtu dalam sektor bukan kuasa, sebanyak RM27.22 bilion subsidi perlu ditanggung pada 2011. 


“Walaupun ada kenaikan, PETRONAS masih perlu menanggung RM25.64 bilion subsidi. Ini hanya pengurangan sebanyak RM1.58 bilion," katanya. 

Beliau berkata, pada masa ini, harga pasaran untuk gas bagi sektor kuasa ialah RM47.42 setiap MMBtu dan PETRONAS membeli kira-kira 36 peratus daripada gas di luar Malaysia. 

"Menanggung subsidi gas akan membataskan keupayaan Petronas untuk menyumbang dari segi dividen dan cukai korporat serta mengehadkan kelebihannya untuk melabur semula bagi mengekalkan aliran pendapatan masa depan," katanya. –- BERNAMA 


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular